
KUALA LUMPUR: Kawasan ibu kota ini bakal memiliki tempat penyimpanan air bawah tanah, seperti dilaksanakan ibu negara maju seperti Tokyo, Jepun sebagai langkah mengatasi banjir kilat dalam jangka masa panjang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata itu antara cadangan yang diketengahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai 'strategi' menguruskan banjir di ibu kota.
Jelasnya, perkara itu masih dalam kajian menerusi perunding yang dilantik oleh DBKL.
"Ada cadangan jangka panjang berkenaan cara mengatasi banjir kilat di Kuala Lumpur untuk membuat penyimpanan air bawah tanah seperti di Tokyo.
"Ia ditakung dahulu supaya tidak berlaku banjir kilat atau air bertakung yang teruk. Maka air disimpan di bawah tanah.
"Kita sedang mengkaji perkara ini melalui perunding yang dilantik untuk mengeluarkan penemuan berkaitan perkara tersebut dalam tempoh empat hingga lima bulan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Media anjuran DBKL malam tadi.
Mengulas tujuan utama kajian berhubung tempat simpanan air bawah tanah itu, Mahadi menjelaskan ia bagi menentukan sama ada pelaksanaan langkah sedemikian sesuai atau sebaliknya.
Tambahnya, kajian turut merangkumi aspek mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk membina tempat simpanan air bawah tanah di Kuala Lumpur.
"Tujuan utama kajian ini ialah kesesuaian pelaksanaan penyimpanan air bawah tanah di Kuala Lumpur dan lokasi berpotensi ia dijalankan kerana ia membabitkan graviti serta topografi kawasan tersebut.
"Ia perlu diletakkan di tempat paling rendah supaya mudah air disalirkan kepada lokasi yang kita kenal pasti sebagai tempat penyimpanan air," katanya.
Mengenai persediaan DBKL menghadapi cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir kilat, Mahadi berkata, pihaknya melakukan persediaan rapi terutama dari penyelenggaraan dan kebersihan tempat pengairan serta saliran seperti longkang.
Katanya, pihaknya juga merujuk data taburan hujan yang jauh lebih tinggi direkodkan di Kuala Lumpur berbanding sebelum ini, supaya persediaan dapat dibuat dengan lebih sistematik.
Selain itu, beliau turut mengadakan mesyuarat dengan syarikat pembersihan Alam Flora dan agensi berkaitan seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dari segi persiapan.
"Jadi data tersebut menjadi panduan kepada kita untuk memastikan longkang-longkang tidak dipenuhi sampah, daun kering atau botol minuman yang menghalang air dalam saliran serta menyebabkan berlakunya takungan air yang menjurus kepada banjir kilat jika hujang berpanjangan.
"Saya buat keputusan bahawa Alam Flora sebagai pihak kontraktor perlu keluarkan sijil yang mengesahkan sistem perparitan dan longkang yang dibersihkan olehnya tidak akan menghalang air hujan.
"Ini satu kaedah yang mana air dapat mengalir tanpa halangan walaupun hujan lebat. Pada minggu lalu, pendekatan ini (membersihkan longkang) berjaya dan kita tidak nampak takungan air besar yang boleh menghalang lalu lintas atau rumah dimasuki air," katanya.
Sumber: Berita Harian