top of page

DBKL bentang belanjawan RM2.5 bilion


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan Belanjawan 2023 dengan peruntukan RM2.6 bilion
DBKL sediakan Belanjawan 2023 dengan peruntukan RM2.6 bilion merangkumi RM1.96 bilion atau 75.3 peratus untuk mengurus dan RM643.7 juta atau 24.7 peratus untuk pembangunan ibu kota. - Foto 123RF

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan Belanjawan 2023 dengan peruntukan RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan Belanjawan 2023 dengan peruntukan RM2.6 bilion merangkumi RM1.96 bilion atau 75.3 peratus untuk mengurus dan RM643.7 juta atau 24.7 peratus untuk pembangunan ibu kota.


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, belanjawan bertemakan ‘Bandar Raya Mampan, Sejahtera Bersama’ itu mengalami penurunan sebanyak 3.7 peratus berbanding Belanjawan 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM2.7 bilion.


Beliau berkata, belanjawan tersebut merangkumi 14 program meliputi antaranya jalan raya dan saliran dengan jumlah peruntukan RM404.3 juta, pengurusan dan pentadbiran (RM394.9 juta), perumahan awam dan rakyat (RM252 juta) serta penghijauan, penyelenggaraan taman, tanah lapang dan kemudahan rekreasi (RM95.5 juta).


"Kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur merupakan keutamaan DBKL. Setiap program yang kami jalankan sama ada untuk tujuan pembangunan fizikal, sosioekonomi, kawalan perancangan atau perkhidmatan perbandaran dilaksanakan demi kebaikan warga kota," katanya dalam sidang media pembentangan belanjawan itu di sini hari ini.


Mahadi berkata, menerusi belanjawan tersebut, DBKL turut memperuntukkan RM7 juta sebagai dana mengurus dan membangun perubahan iklim untuk kajian pelaksanaan penggunaan infrustruktur hijau seperti sistem district cooling (DCS) bagi mengurangkan pelepasan karbon seperti penggunaan pendingin hawa.


Beliau berkata, sebanyak RM28.4 juta pula diperuntuk untuk melaksanakan projek mempertingkatkan sistem saliran dan perparitan, projek kolam takungan banjir, projek mitigasi banjir dan projek tebatan banjir.


"Bagi memastikan perancangan dan kesiapsiagaan Kuala Lumpur dalam menghadapi banjir kilat, DBKL memerlukan dana lebih besar bagi melaksanakan projek mitigasi banjir dan kami sedang memohon peruntukan tersebut daripada kerajaan Persekutuan (sekitar RM 500 juta)," katanya.


Menurut Mahadi, DBKL turut memperuntukkan sejumlah RM252 juta bagi memastikan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat seliaannya lebih selesa.


Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan sebanyak RM2.9 juta bagi mempromosi produk pelancongan Kuala Lumpur dan melaksanakan program Accessible Mayor Award untuk penggiat industri pelancongan.


"DBKL bercadang menubuhkan Majlis Pelancongan pada peringkat DBKL dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur untuk merancang serta melaksanakan inisiatif bagi memajukan sektor pelancongan," katanya.


Sumber: Sinar Harian


3 views

Comments


bottom of page