top of page

DBKL akan bina dinding tebatan banjir


DBKL akan bina dinding tebatan banjir Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: DBKL akan bina dinding tebatan banjir

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengguna pakai Pelan Mitigasi Banjir sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, DBKL akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk mengkoordinasi perancangan dengan pelbagai agensi dan kementerian.


Menurutnya, menerusi pelan itu kelak, DBKL akan memastikan lokasi banjir di ibu kota dapat diselenggara secara berkala bagi memastikan kejadian dapat diurus dengan baik.


Beliau berkata, DBKL juga kini ada proses untuk membina dinding tebatan banjir di beberapa lokasi 'hotspot' bagi menghalang limpahan air sungai utama ke kawasan rendah.


Katanya, proses reka bina struktur berkenaan kini dalam proses dan kontraktor akan dilantik dalam masa terdekat.


"Menerusi Pelan Mitigasi Banjir, DBKL sudah mengenal pasti 14 langkah proaktif untuk memastikan kejadian ini dapat diurus dengan baik.


"Kerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sudah dilaksanakan dan mesyuarat akan diadakan minggu depan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan aplikasi Kuala Lumpur Sport, Event & Facilities (KLSPEF), di Dataran DBKL, hari ini.


Mengulas lanjut mengenai aplikasi KLSPEF, Mahadi berkata, warga kota kini boleh menempah fasiliti sukan dan dewan serbaguna menerusi platform dalam talian.


Katanya, kemudahan ini adalah usaha DBKL untuk menjadi bandar raya pintar menjelang 2025.


"Menerusi aplikasi ini, 63 venue di 11 Parlimen seluruh Kuala Lumpur boleh ditempah dengan mudah tanpa perlu mengisi borang secara manual.


"Ini selaras dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar menjelang 2025 dan proses penambahbaikan sistem penyampaian kepada rakyat.


"Aplikasi ini juga akan memudahkan dua juta warga kota untuk menjalani gaya hidup sihat dengan pelbagai venue sukan dan kemudahan terbaik," katanya.


Sumber: Harian Metro


8 views
bottom of page