Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu, sebahagian 53 projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Kepentingan ETP tidak dapat dinafikan, terutama dalam memacu ekonomi kembali pascapandemik kerana bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi lebih berdaya maju kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Pelaksanaannya mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan meliputi bidang kejuruteraan, teknikal, pekerja kontrak dan pengurusan.
Keunikan DASH ialah Persimpangan Bertingkat Spageti dibina di atas dua lebuh raya sedia ada yang akan menghubungkan secara terus pengguna ke Penchala Link dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Secara keseluruhannya, persimpangan ini menggabungkan tujuh tanjakan bertingkat. Reka bentuk persimpangan bertingkat spageti dipilih mengambil kira faktor jalan sedia ada rumit, menggabungkan beberapa cabang jalan lain menyerupai sepinggan spageti.
Pembinaan persimpangan spageti ini amat terkenal di negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jepun dan China.
Persimpangan spageti memaksimumkan ketersambungan jalan raya, terutama di kawasan kadar trafik tinggi. Ia biasanya mempunyai banyak pintu masuk atau keluar, jejambat dan lorong trafik berbeza yang akan bersatu ke arah sama.
Dengan adanya persimpangan unik ini, aliran trafik akan lebih efektif dan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.
Pembinaan DASH membabitkan kos keseluruhan RM 4.18 bilion juga adalah lebuh raya moden dilengkapi aspek keselamatan terkini dan membabitkan indeks bangunan hijau (GBI) bersepadu menerusi pembinaan solar panel, penuaian air hujan, bumbung dengan tanaman di bangunan operasi plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (RnR) selesa.
Pembinaan DASH menjadi antara tarikan terkini di Malaysia, di samping menunjukkan negara mencapai tahap pembinaan lebuh raya maju setanding negara luar.
Reka bentuk jajaran DASH dibuat untuk mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas bagi pengguna melalui kawasan bandar.
Ia juga menghubungkan 13 persimpangan keluar masuk dari Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala
Utamakan aspek keselamatan
Aspek keselamatan teliti juga diambil kira dengan pemasangan kamera litar tertutup, papan tanda mesej pelbagai (VMS), sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS) dan telefon kecemasan di sepanjang DASH.
Bagi mengelak gangguan bunyi kenderaan melalui DASH di kawasan perumahan, penghadang bunyi kepungan penuh turut dipasang sepanjang 260 meter.
Dengan pembukaan DASH, kesesakan lalu lintas di kawasan dikenal pasti, iaitu Persiaran Mokhtar Dahari, Persiaran Surian dan Jalan Sungai Buloh dijangka dikurangkan hingga 40 peratus.
Pengguna jalan raya juga boleh menggunakan DASH bagi laluan alternatif ke Persiaran Surian di Kota Damansara dan Lapangan Terbang Subang, sekali gus memberi manfaat dari segi penjimatan masa kepada pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan Jalan Duta ke tempat kerja.
DASH juga dapat menyumbang kepada penyuraian trafik efektif terutama di kawasan bakal membangun pesat seperti Kawasan Damansara, Elmina dan pembangunan sekitar Shah Alam ke Damansara.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Sumber: Berita Harian
Comentarios