JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan pembantu maya dalam bentuk avatar hologram pintar yang beroperasi dalam masa nyata (real time) dikenali sebagai D.I.A.N.A.
Ketua Projek D.I.A.N.A, Dr Ajune Wanis Ismail, berkata D.I.A.N.A berkeupayaan berinteraksi dengan manusia menerusi gaya percakapan semula jadi, memahami apa yang diperkatakan serta memberi maklum balas yang sesuai.
Katanya, D.I.A.N.A bermaksud 'Digital Security and Social Intelligent Assistant' (Pembantu Pintar Sosial dan Keselamatan Digital).
"Ia dibangunkan sebagai avatar maya mirip wanita beridentitikan Malaysia. Bahkan, kepintaran yang dimilikinya membolehkan avatar ini mempromosi warisan dan kebudayaan kebangsaan, sekali gus berpotensi untuk diangkat sebagai duta digital kita.
"Sebagai hologram pintar, D.I.A.N.A mampu diprogram untuk menyimpan apa jua maklumat dan data yang diperlukan.
"Pembantu maya ini juga dilengkapi dengan minda kecerdasan buatan (AI) dan berupaya bertutur seperti manusia dengan bantuan teknik Pemprosesan Bahasa Semula jadi (NLP). Versi pertama D.I.A.N.A (D.I.A.N.A 1.0) boleh berinteraksi dan menjawab apa jua soalan berkaitan UTM," katanya.
Menjelaskan demikian dalam satu kenyataan hari ini, Ajune Wanis berkata, D.I.A.N.A pertama kali dipamerkan semasa Hari Terbuka Penyelidikan UTM 2023 pada 6 Februari lalu bersempena lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UTM.
Katanya, hasil maklumat dan data berkaitan UTM yang disimpan D.I.A.N.A, menjadikannya ikon digital UTM.
"Kebolehan untuk berfikir dan bertindak seperti manusia membolehkannya ditugaskan sebagai pembantu maya dan mungkin menjadi sahabat maya suatu hari nanti.
"Dalam bentuk aplikasi telefon pintar pula, D.I.A.N.A mampu memberi manfaat kepada pengguna sebagai pendidik dan pelindung, dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera dalam dunia digital.
"Bagi memastikan D.I.A.N.A mampu diakses pelbagai lapisan masyarakat, selain teknologi hologram, UTM turut menyepadukan teknologi realiti terimbuh (AR) dalam pembangunan D.I.A.N.A.
"Ia bagi membolehkannya muncul pada skrin telefon pintar pengguna. Keupayaan D.I.A.N.A versi AR setara dengan versi hologram," katanya.
Katanya, versi pertama D.I.A.N.A dibangunkan bersama pasukannya dari 'Mixed and Virtual Environment Research Lab' (Mivielab) yang juga sebahagian daripada entiti UTM ViCubeLab Research Group, di bawah Fakulti Komputeran UTM.
"Saya turut dibantu Dr Norhaida Mohd Suaib dan Dr Md Sah Salam, yang juga penyelidik UTM ViCubeLab Research Group. Projek D.I.A.N.A menerima pendanaan daripada Program UTMICONIC, diketuai Prof. Madya Dr Anazida Zainal.
"Saya salah seorang ketua projek yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan komponen sistem hologram avatar maya ini. Ketua projek lain seperti Dr Fo'ad Rohani dan Prof Dr Hamdan Said turut terlibat secara langsung dalam sumbang saran teknikal bagi menjayakan projek ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments