top of page

Cuaca panas luar biasa Malaysia melonjak kos projek pembinaan


Cuaca panas luar biasa Malaysia melonjak kos projek pembinaan
Gambar hiasan: Gambaran cuaca panas luar biasa terjadi akhir-akhir ini telah memberikan kesan signifikan pada sektor kehidupan termasuk industri pembinaan.

Cuaca panas luar biasa Malaysia melonjak kos projek pembinaan

SHAH ALAM - Cuaca panas luar biasa memberi kesan kepada jangka panjang kepada industri pembinaan termasuk kenaikan kos pembinaan dan peningkatan kos projek.


Dekan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia Universiti Malaysia Perlis, Profesor Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah menjelaskan, kesan tersebut boleh mempengaruhi produktiviti, keuntungan dan kelangsungan industri pembinaan secara keseluruhan.


"Gambaran cuaca panas luar biasa terjadi akhir-akhir ini telah memberikan kesan signifikan pada sektor kehidupan termasuk industri pembinaan.


"Kenaikan suhu tidak wajar ini telah menimbulkan cabaran serius dalam proses menuang konkrit di tapak pembinaan. Pekerja dan pihak berkaitan terpaksa menghadapi pelbagai masalah yang muncul akibat keadaan cuaca ekstrem tersebut.


"Salah satu kesulitan utama dihadapi adalah pengeringan konkrit yang cepat. Selain itu, cuaca panas ekstrem juga menyebabkan meningkatnya risiko retak pada konkrit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.


Justeru, Mohd Mustafa berkata, langkah-langkah pencegahan dan penyesuaian yang sesuai perlu diambil bagi mengatasi cabaran cuaca panas dalam proses pembinaan.


Menurutnya, langkah-langkah bagi mengatasi cabaran itu antaranya mengutamakan kerja pada pagi atau petang ketika suhu lebih rendah supaya membantu mengatasi masalah pengeringan yang terlalu cepat.


Selain itu katanya, penyiraman air secara teratur pada permukaan konkrit dapat membantu menjaga suhu lebih stabil dan mengurangkan risiko retak selain menggunakan penutup atau pelindung yang sesuai bagi melindungi konkrit dari suhu tinggi.


Mohd Mustafa berkata, menerusi langkah berkenaan diharapkan kesan negatif suhu tinggi terhadap konkrit dan kesihatan pekerja dapat dikurangkan.


"Adalah penting untuk mempunyai perancangan yang teliti, komunikasi berkesan dan pemantauan berterusan bagi menangani cabaran yang timbul akibat cuaca panas dalam industri pembinaan.


"Pada akhirnya, cuaca panas luar biasa ini memberikan cabaran serius bagi industri pembinaan terutama proses menuang konkrit di tapak pembinaan.


"Dengan mengambil langkah mitigasi yang sesuai, diharapkan impak negatif daripada cuaca panas itu dapat diminimumkan dan pembangunan infrastruktur dapat berjalan dengan selamat dan efisien," ulasnya.


Sumber: Sinar Harian


Cuaca panas luar biasa Malaysia melonjak kos projek pembinaan

Comments


bottom of page