
KUALA LUMPUR: Citaglobal Bhd (dahulunya dikenali sebagai WZ Satu Berhad)
mengumumkan pemeteraian perjanjian pembelian saham (SPA) dengan TIZA Global Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Citaglobal Sdn Bhd) untuk cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd (CESSB).
Cadangan urus niaga itu akan dilaksanakan pada harga RM140 juta melalui terbitan 736,842,105 saham baharu dalam Citaglobal pada harga terbitan 19 sen sesaham.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, cadangan pengambilalihan dikemukakan dengan jaminan keuntungan bersih agregat sebanyak RM60 juta untuk tiga tahun kewangan penuh berakhir 2022, 2023 dan 2024.
Bersempena dengan Cadangan Pengambilalihan itu, Syarikat bercadang untuk melaksanakan cadangan penggabungan saham untuk menyatukan setiap lima (5) Saham Citaglobal yang dipegang oleh pemegang saham Citaglobal, pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian menjadi satu saham Citaglobal selepas selesai pengambilalihan.
Ia akan membawa kepada pelarasan menaik yang sepadan dalam harga dan dagangan saham Citaglobal dan berkemungkinan mengurangkan situasi turun-naik harga dagangan.
Pengerusi Eksekutif & Presiden Citaglobal Bhd, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria,
berkata: "Selaras dengan objektif dan strategi Citaglobal untuk memberikan pertumbuhan mapan dan penciptaan nilai kepada para pemegang saham, cadangan pengambilalihan akan membolehkan Kumpulan memanfaatkan sumber, kepakaran dan kekuatan Kumpulan CESSB yang diperbesarkan dalam mendapatkan projek dan kontrak, dan dengan itu meningkatkan dan mengukuhkan buku pesanan, kedudukan kewangan dan prospek Kumpulan Citaglobal yang diperbesarkan.
"Tambahan pula, penyelesaian Pertimbangan Pembelian melalui penerbitan saham Pertimbangan akan membolehkan Citaglobal mempertingkatkan segmen kejuruteraan dan pembinaannya tanpa sebarang kesan segera ke atas aliran tunai dan tahap penggearan kumpulan."
Di samping memberi peluang kepada kumpulan Citaglobal untuk meningkatkan
aliran pendapatannya, katanya, jaminan Keuntungan juga akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan yang diperbesarkan yang seterusnya mencipta nilai bagi pemegang saham Citaglobal."
CESSB terbabit terutamanya dalam kejuruteraan awam dan perniagaan berkaitan pembinaan.
Syarikat itu berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai kontraktor bertauliah dengan akreditasi Gred 7 kelas. Syarikat mempunyai lebih daripada 10 tahun pengalaman dalam pembinaan, perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan (M&E), pengurusan projek dan kemudahan, perundingan pembinaan dan kejuruteraan, telekomunikasi, pembangunan dan penyelenggaraan rangkaian.
CESSB mempunyai nilai buku pesanan yang disahkan berjumlah kira-kira RM193 juta yang mana terdiri daripada pembinaan, pembinaan rangkaian dan projek berkaitan, dan operasi perlombongan pasir.
Selain itu, CESSB mempunyai pelbagai projek yang dijalankan yang kebanyakannya di bawah rundingan dua hala atau terus dengan pemilik projek pembinaan dan rangkaian berjumlah kira-kira RM1.67 bilion.
Buku pesanan yang disahkan dan projek yang diteruskan ini dijangka menjana pendapatan untuk Kumpulan CESSB dalam beberapa tahun kewangan akan datang sehingga 2027.
Sementara itu Citaglobal mempunyai buku pesanan sedia ada sebanyak RM539 juta.
Ditambah dengan buku pesanan CESSB sebanyak RM193.2 juta, Citaglobal dengan itu akan mempunyai jumlah buku pesanan sebanyak RM732.2 juta.
Selepas terbitan saham pertimbangan, pegangan saham TIZA Global dalam Syarikat akan meningkat daripada sifar kepada lebih daripada 33%. Susulan itu, TIZA Global dan kakitangannya yang bertindak secara bersama (PAC) akan bertanggungjawab untuk melanjutkan Tawaran Mandatori untuk memperoleh semua sekuriti yang tinggal di Citaglobal yang belum dimiliki oleh TIZA Global dan PACnya.
"Dalam beberapa tahun akan datang, salah satu pemacu terbesar untuk Citaglobal ialah pelancaran rangkaian 5G Malaysia. Sebaik sahaja Kumpulan menyelesaikan cadangan pengambilalihan, ia akan berada di landasan yang betul untuk mendapat manfaat daripada pembangunan menara telekomunikasi 5G di seluruh negara kerana CESSB ialah Pembekal Kemudahan Rangkaian berlesen," tambah Tan Sri Norza.
KAF Investment Bank telah dilantik oleh Citaglobal sebagai Penasihat Utama bagi Cadangan.
Astramina Advisory telah dilantik sebagai Pengatur Urus Niaga kepada syarikat untuk cadangan itu dan Penasihat Kewangan kepada syarikat untuk cadangan
penyatuan saham.
Tanpa sebarang keadaan yang di luar jangkaan, Cadangan Pengambilalihan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2022. Cadangan Penyatuan Saham dijangka selesai menjelang suku keempat 2022.
Sumber: Berita Harian