top of page

Bina tembok pencegah banjir elak kejadian berulang


Bina tembok pencegah banjir elak kejadian berulang
Rumah, kedai serta harta benda seperti kereta dilaporkan rosak teruk susulan ribut dan hujan lebat yang melanda Johor Bahru dan Iskandar Puteri. (Gambar Bernama)

Bina tembok pencegah banjir elak kejadian berulang

ISKANDAR PUTERI - Tembok pencegah banjir akan dibina bagi mengatasi isu banjir kilat yang kerap melanda Kampung Baru Muafakat serta kampung berhampiran Sungai Gelang Patah.


Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, projek menelan kos kira-kira RM5 juta merupakan pelan jangka panjang yang diambil bagi mengatasi isu banjir di kawasan kampung berkenaan.


"Projek terbabit sudah dirancang sejak tahun lalu lagi dan difahamkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor telah melantik konsultan bagi melaksanakan projek tersebut.


"Pelaksanaan kerja fizikal projek tembok pencegah banjir sepanjang dua kilometer setinggi 1.2 meter (m) itu akan bermula awal tahun depan dan dijangka siap pada 2025," katanya.


Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan banjir di Kampung Baru pada Selasa. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.


Dalam pada itu, Mohd Haffiz berkata, projek pembinaan jambatan besi di pekan Gelang Patah yang menjadi antara punca menyebabkan banjir kilat berlaku akan diteruskan dalam masa terdekat.


Katanya, projek menukar ganti jambatan besi kepada jabatan konkrit sepanjang 400m telah dimulakan pada 2016 namun terhenti pada 2019.


"Kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor dan dimaklumkan projek itu akan disambung semula dalam masa terdekat yang dijangka siap setahun lagi. Harapnya, ia dapat membantu selesaikan isu banjir kawasan berhampiran," katanya.


Mengulas mengenai kejadian banjir kilat pada Isnin, pihaknya telah mengesan lapan 'hotspot' berlaku banjir di kawasan Gelang Patah.


Katanya, ia melibatkan kawasan Kampung Muafakat Baru, Jalan Gelang Patah - Skudai, Jalan Kilang Nenas, Skudai; Taman Nusantara, Kampung Lalang, Nusa Puncak dan jalan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.


"Hujan luar biasa pada kadar 161 milimeter dalam tempoh tiga jam menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di Gelang Patah," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Bina tembok pencegah banjir elak kejadian berulang


bottom of page