top of page

Bina segera benteng pemecah ombak



Setiu: Kerajaan pusat digesa menyegerakan projek pembinaan benteng pemecah ombak di pantai Tanjung Gelam hingga ke pantai Pengkalan Maras sejauh kira-kira dua kilometer di Batu Rakit, di sini, bagi mengelak hakisan teruk sejak dua minggu lalu.


Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, kerajaan sebelum ini sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM96 juta untuk menyelamatkan dua pantai berkenaan daripada terus terhakis.


Katanya, projek pembinaan benteng pemecah ombak itu perlu disegerakan bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk kemusnahan pelbagai kemudahan seperti rumah dan jalan raya.


"Berikutan keadaan pantai yang terhakis teruk susulan dilanda ombak besar sejak dua minggu lalu, lebih 100 penduduk mengalami kerugian melebihi RM1 juta selepas kediaman, kedai dan rumah rehat musnah.


"Kerugian itu tidak termasuk kemusnahan pelbagai kemudahan asas disediakan kerajaan termasuk jalan raya, surau dan lampu awam, " katanya pada sidang media selepas melawat kawasan yang terjejas akibat hakisan, hari ini.


Hadir sama, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.


Bazlan berkata, setakat ini hanya projek pembinaan benteng pemecah ombak fasa pertama membabitkan peruntukan segera sebanyak RM800,000 bagi menyelamatkan tanah perkuburan Islam di Pengkalan Maras, di sini, sedang giat dilaksanakan.


Katanya, projek fasa kedua untuk pembinaan benteng pemecah ombak membabitkan peruntukan sebanyak RM6 juta diluluskan kerajaan pada Oktober lalu, ditangguhkan berikutan musim tengkujuh.


"Keadaan pantai yang terhakis teruk sehingga memusnahkan pelbagai kemudahan asas dan kediaman amat mengusarkan penduduk," katanya.


Sumber: Harian Metro

13 views
bottom of page