top of page

Bina projek PR1MA pertama di pulau



Georgetown: Bahagian pulau negeri ini akhirnya bakal mempunyai Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pertama dikenali Residensi Bukit Gelugor, dengan kerja pembinaannya dijangka bermula tahun hadapan.


Sebelum ini projek PR1MA di Pulau Pinang dibangunkan di tanah besar iaitu Seberang Perai yang membabitkan lokasi Permatang Paut dan Seberang Perai Tengah.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pembinaan PR1MA pertama di bahagian pulau diharap membolehkan kerajaan negeri mencapai sasaran penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat.


Katanya, projek itu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun adalah usahasama Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan PR1MA Malaysia bersama pemaju, Ideal Property Group dan kerajaan Pulau Pinang.


"Projek dengan kelengkapan bertaraf kondominium ini menyediakan 2,850 unit yang mempunyai beberapa kelas harga dengan harga siling yang diletakkan adalah RM300,000 ke bawah.


"Selain itu, ia akan dibangun menggunakan model perniagaan terbaharu PR1MA yang tidak perlukan pelaburan tinggi oleh kerajaan apabila memberi tanah kepada pemaju untuk bangunkan kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat termasuk golongan B40," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Residensi Bukit Gelugo di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.


Tapak projek itu dibangunkan di kawasan Kampung Kastam selepas lebih 50 unit kuarters Kastam Diraja Malaysia (KDRM) irobohkan pada 2017.


Dalam pada itu, Zuraida berkata, permohonan membeli rumah itu boleh dikemukakan kepada pemaju sebelum menjalani tapisan oleh kerajaan negeri untuk memastikan hanya mereka berkelayakan sahaja menerimanya.


Sementara itu, Chow berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat empat projek PR1MA dirancang dibangunkan di negeri itu termasuk dua di bahagian pulau.


Katanya, dua projek sama yang dirancang di Batu Ferringhi dan Seberang Perai tergendala sebelum ini kerana masalah tanah.


Sumber: Harian Metro

23 views
bottom of page