Bersantai di bandar sihat
- Ridhwanisme
- Aug 29, 2023
- 4 min read

Seperti kebiasaan petang hujung minggu, suasana meriah memenuhi setiap ruang Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang, apatah lagi cuaca cerah membuatkan puluhan penduduk sekitar datang berkunjung.
Ada yang bersama keluarga, rakan dan bersendirian, menjadikan taman yang dipenuhi kehijauan itu sebagai lokasi pilihan bagi merehatkan minda serta melakukan pelbagai kegiatan sihat, selepas sekian hari lelah bekerja.
Di satu sudut laman, kelihatan ayah dan ibu ketawa gembira bermain badminton bersama anak-anak, di bahagian lain, kelihatan beberapa remaja lelaki bermain bola, berjoging dan mengayuh basikal, mengelilingi sekitar taman itu.

Tidak kurang juga ada keluarga mengambil peluang berkelah, menikmati menu ringan sambil melihat keseronokan anak bermain buaian, papan gelongsor dan santai bersembang sesama jiran tetangga.
"Inilah keseronokan buat kami dan taman ini menjadi tumpuan kalangan penduduk sekitar dan warga kota untuk menjalani gaya hidup sihat, " demikian kongsi Mastura Abdul Mansor, 35, yang membawa dua orang anaknya ke taman itu.
Menurut beliau sudah lapan tahun menetap di kawasan perumahan berdekatan, seawal jam 6 pagi, taman dibuka sejak tahun 2015 itu sudah dipenuhi dengan warga setempat pelbagai bangsa dan peringkat umur untuk melakukan aktiviti riadah.
Katanya, yang bekerja sebagai guru agama sekolah rendah, ada yang menjadikan taman itu lokasi pertama persinggahan mereka sebelum ke tempat kerja untuk berjoging, lebih-lebih lagi selepas Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan beberapa penambahbaikan seperti ruang pejalan kaki, gimnasium, menambahkan lagi tarikan taman itu.
"Pagi memang ada beberapa kumpulan penduduk melakukan senaman tai chi dan ada juga berjoging. Suasana taman bertambah ceria dan dipenuhi ramai orang awam selepas MPAJ menambah baik taman permainan seperti trek kereta kawalan jauh," katanya.
Projek bandar sihat dan mampan
Pengunjung setia Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Iris Najwa Irwan, 25, berkata meskipun dikelilingi dengan pelbagai jenis pembangunan dan mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi iaitu kira-kira lebih 50,000 penduduk.
Namun siapa sangka kawasan itu mampu mengekalkan kehijauan serta ruang untuk penduduk sekitar mengamalkan gaya hidup sihat.
"Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan senaman gimnasium, memberi peluang kepada mereka yang tidak mampu ke pusat itu untuk menggunakannya tanpa dikenakan sebarang bayaran.
"Walaupun, peralatannya tidak sebanyak sepertimana di gimnasium, namun ia memberikan kepelbagaian aktiviti kepada penduduk sekitar taman itu termasuk warga kota yang singgah beriadah untuk meningkatkan kualiti hidup.
"Penduduk di kawasan ini daripada pelbagai latar belakang dan kelas pendapatan. Ada yang tidak mampu membelanjakan wang mereka ke tempat beriadah dan di sini lokasinya apabila mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti senaman dan rekreasi yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
"Cuma, saya harapkan penduduk dapat menjaga kemudahan yang ditambah baik ini dengan baik dan tidak melakukan vandalisme. Kerajaan menerusi PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) melakukan pelbagai usaha, kos untuk membantu warga kota menjalani gaya hidup sihat," katanya.
Hakikatnya, Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang adalah antara satu kawasan yang dijadikan sebagai Projek Perintis Bandar Sihat oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam usaha membentuk kemampanan bandar serta usaha mengekalkan kehijauan di kawasan bandar.
Projek Bandar Sihat di taman itu yang bermula pada 8 Oktober 2021, dijadualkan siap sepenuhnya pada 7 Januari 2022 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
Biarpun lewat disiapkan, namun usaha menaik taraf itu membuahkan hasil yang membantu meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk sekitar dengan menjadikan kawasan bandar di situ lebih berdaya tahan dan berdaya huni.
Kurang jenayah
Menurut Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad, penambahbaikan serta menaik taraf kemudahan di taman itu adalah berdasarkan kepada Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Sihat yang merangkumi laluan (laluan pejalan kaki dan laluan basikal), pencahayaan serta kemudahan sokongan seperti papan tanda informasi kesihatan dan perabot jalan (wakaf dan bangku),
Beliau, menerusi jawapan secara bertulis kepada Bernama berkata, objektif penambahbaikan yang dilaksanakan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan adalah selari dengan Agenda ANMS di bawah teras keempat iaitu mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan.

Teras ini juga, antaranya, untuk memantapkan promosi amalan cara hidup sihat, mengukuhkan perkhidmatan kesejahteraan rakyat, memperkasa kawalan kendiri kesihatan serta memantapkan kebersihan persekitaran.
"Elemen yang (turut) diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek Bandar Sihat ini antaranya adalah penyediaan outdoor gym, penambahbaikan Trek Kereta Kawalan Jauh (ATRC) dan juga taman permainan kanak-kanak.
Semua penambahbaikan yang dijalankan secara tak langsung ini memenuhi keperluan penduduk MPAJ," katanya.
Apa yang menarik ialah penambahbaikan yang dilakukan itu tidak hanya membantu penduduk sekitar menjalani kehidupan sihat tetapi juga turut mengurangkan kegiatan jenayah apabila kawasan semak samun dibersihkan dan ditambah dengan pencahayaan bagi mewujudkan rasa lebih selamat berbanding sebelum ini.
Menurut Ani, berdasarkan data Fear of Crime, tahap keselamatan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, didapati meningkat daripada 50 peratus kepada 75 peratus, iaitu impak daripada projek Bandar Sihat dan Bandar Selamat yang dilaksanakan di kawasan sama.
Kesan positif ini membuatkan ia dijadikan penanda aras untuk kawasan lain apatah lagi, ini bukan satu usaha mudah untuk menjadikan kawasan berpendudukan padat sebagai sebuah bandar sihat dan berdaya huni.
Justeru, pelbagai aktiviti dilakukan MPAJ dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan gaya hidup sihat termasuklah kempen kesihatan, keselamatan, kebersihan, penjimatan tenaga.
Program pembangunan teknologi dan persekitaran hijau juga turut diketengahkan dalam usaha menjadikan Ampang Jaya sebagai bandar rendah karbon dan bandar mampan.
"Contohnya, melaksanakan kerja inventori pokok di sekitar kawasan Ampang bertujuan mendidik penduduk di kawasan MPAJ dengan kepelbagaian spesies pokok yang memberi ruang kepada komuniti mempelajari jenis pokok selain turut menganjurkan program penanaman pokok dalam usaha memelihara dan memulihara pokok teduhan di kawasan Ampang khususnya," katanya.
Impak memberangsangkan dinikmati penduduk sekitar taman ini membuktikan kawasan berkenaan mampu melaksanakan dasar bandar mampan biarpun mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi apabila mereka mendapat manfaatnya.
Sejajar matlamat
Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Suhardi Maulan berpandangan, projek bandar sihat antara usaha murni kerajaan dalam mewujudkan bandar mampan dan kehidupan sejahtera di kawasan padat penduduk khususnya di bandar.
Bandar mampan mengikut definisi United Nations Centre For Human Settlements (HABITAT), Program Bandar Mampan adalah 'Bandar Yang Mampu Mengekalkan Pencapaian Dalam Pembangunan Sosial, Ekonomi Dan Fizikal Untuk Selama-lamanya'.
Sementara Research Triangle Institute (RTI) pula merujuk definisi bandar mampan sebagai 'Wilayah Metropolitan yang boleh bersaing dengan jayanya di peringkat global tetapi masih boleh mengekalkan keunggulan budaya dan alam sekitarnya'.
"Projek bandar sihat bagus dalam mengekalkan kemampanan bandar yang mempunyai kelestarian meliputi aspek persekitaran, sosial dan ekonomi.
Bandar ini mampu memberikan keadaan yang baik untuk pemeliharaan dan pemuliharaan penjagaan alam sekitar, interaksi sosial dan berkembang aktiviti masyarakat.
"Usaha ini selaras dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menekankan Matllamat Pembangunan Lestari (SDG), Agenda Mampan dan beberapa perkara lain. Misi untuk melakukan cara terbaik dalam menjamin bandar mampan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Bersantai di bandar sihat
Comments