top of page

Beri perhatian pembangunan bandar seimbang - PM


Pembanguna bandar seimbang
PBT di negara ini diminta agar memberi perhatian dan menyelesaikan isu perancangan kota atau bandar supaya ia seimbang dengan pembangunan - PMX

Pembanguna bandar seimbang

Kuala Lumpur: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini diminta agar memberi perhatian dan menyelesaikan isu perancangan kota atau bandar supaya ia seimbang dengan pembangunan sekali gus memenuhi keperluan penduduk bandar.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun tidak terlambat, keadaan dilihat agak 'tenat' kerana perancangan bandar sebelum ini mempunyai kelemahan dengan menjurus kepada pembangunan semata-mata.


"Kita lihat umpamanya keadaan tidak terkawal dan lebih parah bila ada kesenjangan kerana kota juga menzahirkan kawasan sesak, kawasan miskin bandar yang disebut slums, maknanya perancangan kita ada kelemahannya.


"Kita bangunkan bangunan yang tersergam indah, projek-projek mega kerana itu perlu untuk membangunkan (negara) tetapi kita lupa bahawa yang bekerja itu (penduduk) juga memerlukan perumahan dan akhirnya apabila hendak bangunkan perumahan, kos telah meningkat, kos tanah melambung tinggi," katanya pada Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.


Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perancangan kota-kota besar sangat penting agar selari dengan konsep Malaysia MADANI yang dicetuskan beliau.


Anwar berkata semua pihak harus belajar daripada pengalaman kelemahan kota-kota besar seperti menghapuskan hutan dan mementingkan perniagaan semata-mata ketika merancang bandar.


"Saya katakan tidak terlalu lambat, tetapi sudah tenat kita. Mahu bangunkan perumahan rakyat, kosnya terlalu tinggi kerana kita tidak menetapkan kawasan-kawasan (untuk perumahan) dari awal. Kita hanya fikirkan gedung-gedung kerana gedung ini kadangkala memberikan pulangan yang lebih baik," katanya.


Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab dalam memastikan penyediaan kemudahan dan mengindahkan warung serta gerai kecil buat seluruh rakyat Malaysia.


"Kita mahu restoran lima bintang tetapi kita kena ingat warung-warung dan gerai itu penting kerana sebahagian besar rakyat tidak mampu mendekati restoran lima bintang maka tanggungjawab kita yang ada kuasa untuk pastikan kemudahan bagi rakyat terbanyak dan harus indah.


"Perumahan rakyat, mengindahkan warung dan gerai serta kedai-kedai runcit sekadar yang kita mampu... jadi akhirnya kita hidup dalam negara makmur tetapi kita kekalkan dua darjat jadi sebab itu (konsep) Malaysia MADANI ini kita harus ikhtiar," katanya.


Mengenai Belanjawan 2023, beliau berkata isu miskin tegar, perumahan, gerai, nasib pekebun kecil dan penoreh getah diberi tumpuan serius dalam belanjawan Persekutuan dengan peruntukan tambahan.


Anwar juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah kerana mengerahkan jentera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyelesaikan isu-isu gerai dan warung dalam meningkatkan kemudahan mencukupi serta selesa kepada mereka.


Berlangsung bermula 4 hingga 12 Mac, Festival Taman Kuala Lumpur 2023 dengan tema 'Laman Seni dan Flora Malaysia' ialah program penjenamaan semula daripada Program Kuala Lumpur Orchid and Bonsai Show (KLOBS) yang pernah dianjurkan DBKL sejak 2012.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Mahadi.


Sumber: Harian Metro


10 views
bottom of page