top of page

Bencana Gunung Jerai: Kerajaan negeri nilai semula chalet dibina atas rizab sungai


Kerajaan Kedah jelasnya akan akan memberi bantuan sagu hati kepada 14 pengusaha chalet yang terjejas di bawah program pemulihan industri pelancongan desa. - Gambar fail/ Bernama

ALOR SETAR: Penilaian semula akan dilaksanakan kerajaan negeri Kedah ke atas kedudukan chalet-chalet di kawasan kaki Gunung Jerai yang terjejas susulan tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.


Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata banyak chalet yang terlibat dibina di atas tanah rizab sungai selain tidak memperoleh kebenaran pembinaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).


Tambah beliau, pembinaan semula chalet-chalet berkenaan akan dilaksanakan bagi pengusaha yang mempunyai geran dan kelulusan Majlis Daerah Yan.


"Untuk bina semula bangunan (chalet) itu, (kita) kena tentukan tanah itu ada geran, (selain) dapat kebenaran dan ada kelulusan daripada majlis (Daerah Yan), perkara itu penting untuk keselamatan (dan) bukan untuk kita menyekat (atau menghalang mereka beroperasi),


"(Ini kerana) apabila berlaku bencana macam ini, kita dapat tahu banyak struktur (chalet) itu dia (dibina di atas) tanah rizab sungai, bila tidak cukup had (atau syarat tertentu), air (akan) landa sekali dengan rumah-rumah itu,


"(Chalet) yang (masih) belum (rosak sepenuhnya), Majlis Daerah Yan akan tentukan bagaimana kaedah untuk pastikan semua struktur dibina berlunaskan peraturan dan undang undang, penting untuk keselamatan," katanya.


Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) di Kampung Acheh, Yan pada Selasa.


Dalam pada itu, kerajaan Kedah jelasnya akan akan memberi bantuan sagu hati kepada 14 pengusaha chalet yang terjejas di bawah program pemulihan industri pelancongan desa.


Untuk rekod kejadian kepala air yang berlaku di beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai termasuk Yan, Gurun, dan Merbok telah mengakibatkan kerosakan kepada lebih 1,300 buah rumah penduduk di kawasan sekitar.


Bencana berkenaan juga telah mengorbankan enam nyawa.


Sumber: Astro Awani

8 views

Comments


bottom of page