KUALA LUMPUR: Projek ikonik Battersea Power Station yang dimiliki konsortium pelabur Malaysia di London terus mendapat perhatian pembeli berikutan kualiti dan keunikan reka bentuknya yang tersendiri meskipun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar.
Konsortium pelabur Malaysia itu terdiri daripada pemaju hartanah, SP Setia Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus), sementara pengurusan pembangunan projek itu dilaksanakan oleh Battersea Power Station Development Company (BPSDC).
Ketua Pegawai Eksekutif BPSDC, Simon Murphy, berkata pihaknya telah mencatatkan rekod jualan lebih £400 juta (RM2.16 bilion) pada 2021.
Beliau berkata, penduduk kini telah berpindah ke apartmen Power Station dan Prospect Place, manakala bakal pembeli dapat meninjau di dalam apartmen untuk melihat lebih dekat hartanah yang ditawarkan.
Katanya, BPSDC juga menjangkakan minat akan berterusan menjelang pembukaan umum Power Station pada musim luruh (September-November) ini dengan menampilkan pembukaan kedai, restoran, dan pelbagai lagi di projek ikonik itu.
"Jualan kediaman terus kukuh dengan pembukaan stesen kereta api bawah tanah di Battersea Power Station. Kemudahan dan rekaan dalaman yang menarik bagi apartmen siap menjadi antara sebab utama kami terus menarik minat pembeli.
"Malah, kekurangan bekalan merentasi pasaran meluas menjadikan hartanah sedia untuk didiami kami lebih menarik," katanya kepada BH.
Murphy berkata, ketika pemegang saham mengambil alih tapak itu hampir 10 tahun lalu, Battersea Power Station, yang juga salah satu bangunan paling ikonik dan dikenali di London, telah terbiar selama lebih 30 tahun.
Beliau berkata, sejak awal lagi, pemegang saham tahu bahawa mewujudkan tempat yang mana orang boleh tinggal, bekerja dan beriadah akan menjadi kunci kepada kejayaan penjanaan semula stesen jana kuasa itu, justeru terima kasih kepada komitmen dan kepakaran mereka.
"Ia adalah tahun yang sangat mengujakan bagi Battersea Power Station kerana kami bersedia untuk membuka bangunan ikonik yang disenaraikan Gred II kepada orang ramai buat pertama kalinya mulai musim luruh ini (September-November) ini," katanya.
Murphy berkata, apartmen Prospect Place yang direka oleh Gehry Partners mengalu-alukan penghuninya baru-baru ini dan sentuhan akhir elemen kediaman sedang dibuat di Power Station, yang mana penghuni pertama berpindah tahun lalu dan komuniti yang rapat telah terbentuk dengan cepat.
Beliau berkata, mewujudkan rasa kemasyarakatan yang lebih meluas dan memastikan penduduk setempat sedia ada merasakan sebahagian daripada perjalanan itu juga penting.
Katanya, pelbagai inisiatif dirangka untuk membantu termasuk Koir Komuniti Battersea Power Station dan Power to Connect, skim kitar semula komputer riba dan tablet yang membantu memastikan keluarga dan organisasi tempatan kekal berhubung secara digital.
"Kami boleh katakan dengan yakin bahawa Battersea Power Station akan menjadi salah satu destinasi tumpuan London dengan pembukaannya mengikut jadual," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments