top of page

Batal kaedah runding terus projek mega jimatkan kos, lebih telus


Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE)
Gambar hiasan: Contoh komisen kepada 'orang tengah'

Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE)

KUALA LUMPUR: Inisiatif membatalkan kaedah rundingan terus bagi projek mega dalam Belanjawan 2023 mampu menjimatkan kos dan mengelak pemberian komisen kepada 'orang tengah'.


Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE), Datuk Seri Akhbar Satar, berkata pelaksanaan perolehan kerajaan mesti telus dan terbuka berlandaskan tata kelola yang baik, tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus.


"Tindakan membatalkan kaedah rundingan terus itu juga menunjukkan kerajaan tegas dalam mengelakkan pembaziran tiris termasuk mungkin ada penipuan atau harga diletakkan terlalu tinggi," katanya.


Akhbar yang juga ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), berkata sekiranya projek mega diperoleh menerusi rundingan terbuka, kebiasaannya harga ditawarkan adalah yang terbaik iaitu keuntungan dalam lingkungan 15 hingga 20 peratus berbanding 50 peratus menerusi rundingan terus.


"Peringatan kepada kontraktor bahawa tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan harga tinggi termasuk komisen kepada pegawai kerajaan.


"Pastikan juga pihak yang menjaga dan meluluskan tender projek mega mempunyai integriti dalam memastikan tiada unsur penyelewengan dan rasuah ketika rundingan," katanya.


Akhbar berpandangan, jika konsep rundingan harus dibuat secara terus, pastikan ia dijalankan secara berintegriti dan telus.


"Memberi projek rundingan langsung hanya harus diberikan kepada kontraktor yang kompeten dan berwibawa dan harus dilaksanakan dengan integriti penuh.


"Langkah mengelak penipuan tawaran adalah untuk menetapkan prakelayakan syarikat atau kontraktor dengan menghendaki mereka mengemukakan penyata kewangan yang telah diaudit sejak beberapa tahun, " katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, berkata reformasi institusi melalui pembentangan Akta Perolehan Kerajaan dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini adalah sebahagian daripada tuntutan rakyat.


Beliau berkata, keadilan hanya dapat dicapai sekiranya fungsi institusi pendakwaan dan kehakiman tidak dipengaruhi oleh kuasa eksekutif yang boleh menjejaskan keyakinan dan persepsi rakyat.


"Untuk itu, reformasi institusi yang dicadangkan harus bergerak seiringan dengan reformasi lain yang telah dicadangkan sebelum ini oleh pihak #RasuahBusters. Karenah birokrasi adalah antara halangan yang membuka ruang rasuah yang cukup besar dalam urusan berkaitan perkhidmatan awam," katanya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan 2023 harus mempunyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu terutama dalam meninggalkan amalan pembaziran serta rasuah.


Beliau berkata, ini kerana amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan malah mencalar imej negara.


Sumber: Berita Harian


27 views

Comentários


bottom of page