top of page

Bantu kontraktor


Bantu kontraktor Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: Kerja-kerja di tapak pembinaan

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berharap lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta menyertai program pembiayaan vendor bagi membantu kontraktor G1.


Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, program itu dapat memberi peluang kerja kepada kontraktor G1 selain membimbing mereka untuk lebih berdaya maju.


"Konsep vendor ini amat penting untuk membantu usahawan kita dan apabila ada perjanjian dengan pihak bank, ia akan memudahkan pihak vendor untuk mendapatkan pinjaman.


"Prosesnya agak cepat dan syarat bank juga tidak berapa ketat kerana syarikat induk (anchor) seolah-olah seperti penjamin, jadi ia menunjukkan ketiga-tiga pihak iaitu syarikat induk, syarikat vendor dan bank ambil maklum.


"Kita berharap syarikat besar di luar sana bukan sahaja syarikat berkaitan kerajaan malah syarikat swasta atau syarikat lain yang mendapat projek kerajaan beratus juta untuk masuk sistem vendor kita ini, ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada syarikat kontraktor untuk mencari rezeki," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UEM Edgenta Bhd dan HSBC Amanah Malaysia Bhd di sini, kelmarin.


Kontraktor G1 adalah kontraktor Bumiputera yang memperoleh jumlah kontrak bernilai RM200,000 ke bawah.


Noh berkata, terdapat 46,000 kontraktor mengeluh kerana tidak mendapat sebarang projek dan berharap untuk mendapat projek daripada kontrak kerajaan.


Bagi GLC atau syarikat swasta yang menyertai program pembiayaan vendor, mereka layak untuk mendapat insentif pemotongan cukai berganda (double deduction tax incentives), katanya.


"Sekarang ini, baru ada 27 syarikat anchor dan kebanyakannya adalah GLC tetapi kita harap lepas ini, kita dapat capai sasaran 30 syarikat anchor tahun ini.


"Mungkin kita akan cadang kepada Kabinet supaya mana-mana syarikat besar yang dapat projek kerajaan perlu menyertai projek vendor," kata beliau.


Mengenai MoU itu, UEM Edgenta bekerjasama dengan HSBC Amanah untuk membangunkan Program Pembiayaan Vendor Patuh Syariah yang memberi manfaat kepada pembekal dan vendor UEM Edgenta.


Program itu urus niaga penting susulan pelancaran perkhidmatan rantaian bekalan kewangan Islam yang pertama di Asia oleh HSBC Amanah.


Di bawah fasa 2 yang akan dilaksanakan pada Oktober depan, UEM Edgenta dan HSBC Amanah merancang untuk mendekati 422 lagi vendor PKS dan PMKS.


Program Pembiayaan Vendor Patuh Syariah baharu dengan kerjasama HSBC Amanah, adalah lanjutan pembangunan inisiatif pembiayaan rantaian bekalan UEM Edgenta.


Sumber: Harian Metro


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page