top of page

Banjir: Segera hubungi TNB jika premis dinaiki air


Banjir: Segera hubungi TNB jika premis dinaiki air Sinar Harian www.sinarharian.com.my
Gambar hiasan: Segera hubungi TNB jika premis dinaiki air

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) jika premis mereka dinaiki air banjir agar bekalan elektrik dapat dihentikan demi keselamatan semua.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, penutupan bekalan elektrik itu bersifat sementara bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan akan disambungkan semula apabila banjir surut serta keadaan kembali selamat.


"TNB sentiasa peka dan bersimpati dengan keperitan rakyat yang diuji dengan bencana dan kami juga menitikberatkan faktor keselamatan elektrik dalam suasana tersebut.

“Keselamatan awam dan barisan hadapan menjadi keutamaan dalam usaha membaik pulih bekalan yang mana TNB terlebih dahulu memulihkan pencawang yang terkesan dan aset lain serta membuat pengujian bagi memastikan ia selamat untuk menyalurkan bekalan.

“TNB akan segera memberikan semula bekalan sebaik keadaan mengizinkan dan akan memastikan bekalan ke semua pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Sementara itu, TNB turut menyarankan orang ramai di kawasan yang terlibat dengan banjir untuk mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.


Ujar Baharin, antaranya adalah denggan menghindari penggunaan peralatan elektrik, letakkan peralatan elektrik di tempat tinggi, pastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan elektrik apabila premis dinaiki air.


Tambahnya, mangsa terlibat juga perlu menghubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mohon memutuskan bekalan elektrik jika paras air meningkat.


“Jauhi peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ia bersalut penebat.


“Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik,” jelasnya.


Beliau berkata, antara panduan yang boleh dilakukan selepas banjir ialah mematikan suis utama sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian.


“Selain itu, suis dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir perlu diperiksa dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.


“Jauhi dahan pokok di talian elektrik kerana bekalan elektrik mungkin masih disalurkan dan maklumkan juga kepada TNB untuk tindakan segera.


“Jangan gunakan galah atau tangga yang diperbuat daripada besi, aluminium, buluh atau kayu berhampiran talian elektrik,”ujarnya.


Sumber: Sinar Harian


1 view

Comentários


bottom of page