top of page

Banjir 8 kali setahun, penduduk Laman Gahal mahu penyelesaian tuntas


Banjir 8 kali setahun, penduduk Laman Gahal mahu penyelesaian tuntas Berita Harian www.bharian.com.my
Banjir melanda Laman Gahal di Jalan Felca Semungkis di Hulu Langat.- Foto ihsan penduduk

HULU LANGAT: Hujan lebat melanda kawasan ini menyebabkan Laman Gahal di Jalan Felcra Semungkis, di sini, digenangi air sehingga paras lutut, petang tadi.


Kejadian itu yang kelapan berlaku di Laman Gahal dengan masala banjir didakwa penduduk berlarutan sejak lima tahun lalu.


Keadaan itu mengundang rasa kecewa penduduk memandangkan belum ada penyelesaian secara tuntas meskipun pelbagai aduan dan perbincangan sudah disalurkan kepada kerajaan negeri dan juga Pusat.


Pengerusi Persatuan Penduduk Laman Gahal (PELAGA), Abu Samah Ibrahim, berkata banjir melanda kawasan menempatkan lebih 30 kediaman itu berpunca limpahan air dari pembinaan lebuh raya berhampiran.


Pada asalnya, katanya terdapat satu longkang kecil berhampiran kawasan kediaman yang mengalirkan air daripada bukit berhampiran, namun ia tidak menyebabkan sebarang kejadian banjir atau limpahan air ke kediaman penduduk.


"Keadaan berbeza apabila adanya projek pembinaan lebuh raya tidak jauh dari kawasan ini, menyebabkan banjir kerap berlaku sejak tahun 2017 hingga sekarang.


"Ada kalanya banjir menimpa kami empat kali setahun, namun untuk tahun ini sudah masuk lapan kami berdepan banjir termasuklah hari ini," katanya ketika dihubungi BH.


Abu Samah berkata, rata-rata penduduk kecewa kerana tiada sebarang tindakan berkesan diambil pihak berkuasa.


"Pelbagai mesyuarat bersama agensi kerajaan berkaitan diadakan, namun masalah banjir belum dapat diatasi secara holistik.


"Mungkinkah tindakan itu dan nasib penduduk kawasan ini akan berubah hanya apabila ada nyawa yang melayang akibat banjir," soalnya.


Abu Samah berkata, selain masalah keselamatan rata-rata penduduk juga mahu tindakan segera diambil kerana tidak tahan menanggung kerugian harta benda apabila banjir melanda terlalu kerap sehingga lapan kali setahun.


Sumber: Berita Harian

3 views

Comments


bottom of page