Perubahan demi perubahan yang mewarnai Wilayah Persekutuan yang pesat membangun sebagai pusat pentadbiran, perdagangan dan pelancongan serta bandar raya yang berdaya huni, menjadikan Malaysia terus dikenali di seluruh dunia.
Mengimbau kembali pembukaan Kuala Lumpur sekitar 1857, siapa sangka ibu negara yang asalnya adalah kawasan perlombongan kini menjadi negara yang gah di mata dunia.
Pembentukan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 untuk dijadikan ibu negara pula menjadikan pembangunannya ini tidak pernah terhenti.
Sebagai langkah kerajaan menghapuskan perasaan perbezaan antara kaum, bangsa, agama dan semangat kenegerian yang berunsur negatif antara penduduk di Malaysia, Pulau Labuan diisytihar sebagai Wilayah Persekutuan kedua pada 16 April 1984.
Bagi memantapkan lagi pentadbiran Wilayah Persekutuan, Putrajaya secara rasmi diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga pada 1 Februari 2001.
Ia secara tidak langsung menjadikan Putrajaya, sebuah bandar terancang sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memberi fokus terhadap menentukan pengurusan serta pentadbiran kelas pertama.
Hari ini, ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini membentuk satu entiti unik dalam negara Malaysia.
Bermastautin di Kuala Lumpur selama 21 tahun, penulis melihat sendiri pembangunannya tidak pernah terhenti.
Dulu, bangunan yang menjadi kebanggaan negara adalah Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas yang turut memecahkan rekod revolusi industri pembinaan negara apabila memegang gelaran bangunan tertinggi di dunia dari 1998 hingga 2004.
Namun, kini ada banyak bangunan pencakar langit yang menjadi mercu tanda negara dan lebih membanggakan bangunan pencakar langit ini juga mencipta sejarah tersendiri.
Antaranya adalah The Exchange 106 dan Menara Merdeka 118 yang bukan saja tertinggi di Malaysia, tetapi turut menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.
Dari segi infrastruktur jalanan, perkembangan lebuh raya baharu di sekitar Wilayah Persekutuan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Sistem pengangkutan juga dipertingkatkan dengan pembinaan landasan berkembar kereta api elektrik (KTM), transit aliran ringan (LRT) dan monorel.
Ia dimantapkan lagi dengan pembinaan Express Rail Link (ERL), Terowong Jalan Rata dan Pengurusan Air Banjir (Smart), Hentian Puduraya, KL Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Projek MRT juga meningkatkan tahap kecekapan sistem pengangkutan awam negara secara bersepadu, setanding dengan ibu negara maju lain seperti Seoul dan Tokyo.
Ia merangkumi beberapa landasan yang satu daripadanya berpusing di luar pusat bandar, sementara beberapa lagi merentasi pusat bandar, sekali gus hampir menyamai rangkaian tren di bandar raya utama dunia.
Wilayah Persekutuan juga sentiasa berusaha memastikan warganya memperoleh kehidupan yang lebih sejahtera dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif.
Dengan keadaan ekonomi yang semakin menyesakkan, permintaan rakyat untuk membeli rumah pada harga mampu milik adalah sangat tinggi.
Dari situ, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mencetuskan inisiatif membina 80,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah dengan tawaran harga RM300,000 serta fasiliti yang lengkap, selesa dan lokasi strategik.
Selain 10,000 unit tawaran rumah Residensi Prihatin yang disasarkan kepada kumpulan B40 dengan harga RM200,000. Kedua-dua inisiatif ini memberi manfaat yang besar kepada warga Wilayah Persekutuan.
Sejak projek River Of Life siap dilaksanakan kerajaan, tebing sungai yang dulunya kotor dan tidak berdaya saing, diberi nafas baharu dengan membuat projek pengindahan sekaligus membuka potensi ekonomi.
Turut dibina laluan basikal membolehkan komuniti di bandar raya ini menikmati masa riadah mereka sambil menghayati bangunan bersejarah dan warisan budaya yang masih wujud.
Dengan ini bukan saja merancakkan kembali sektor ekonomi, malah menaikkan nilai komersial di kawasan sekitar.
Ini kerana, di Wilayah Persekutuan lebih lestari dengan peluang pekerjaan yang boleh diisi dan ia terbukti merancakkan ekonomi di ibu negara.
Program Usahawan Muda Kota (UMK) diperkenal bagi memberi peluang kepada warganya untuk terus berdaya saing dan mempunyai sumber ekonomi yang baik.
Penulis melihat apabila berlakunya pembangunan yang pesat, terdapat pengabaian dalam pengurusan infrastruktur sehingga mengakibatkan banjir kilat dan keruntuhan cerun.
Paling malang apabila berlaku bencana membabitkan kehilangan nyawa dan harta benda yang banyak.
Untuk mengatasinya, kerajaan mengambil tindakan segera dan berterusan dengan mengenal pasti 'hotspot' banjir serta kaedah terbaik dalam pengurusan bencana di Wilayah Persekutuan bagi memastikan ia kawasan selamat untuk didiami.
Wilayah Persekutuan juga terkenal dengan lokasi pelancongan menjadi tumpuan dalam dan luar negara.
Kuala Lumpur misalnya, terkenal dengan pelbagai mercu tanda yang gah dan sering menjadi persinggahan utama pelancong. Terkini, Pintasan Saloma pula antara lokasi terbaharu dalam senarai destinasi yang mesti dilawati manakala Kampong Bharu pula adalah syurga makanan.
Di Putrajaya pula, penulis sendiri sering ke sana untuk menikmati taman hijau yang ada kerana keunikan dan kecantikannya ibarat berada di luar negara.
Contohnya, di Taman Saujana Hijau yang sering kali penuh dengan pengunjung setiap kali hujung minggu kerana ramai yang ingin merasai dan menikmati suasana dan keindahannya.
Putrajaya juga terkenal dengan bangunan pusat pentadbiran kerajaan yang ikonik seperti serta pusat ibadah seperti Masjid Putra yang menjadi tumpuan pelancong berbilang bangsa, agama dan negara.
Di Labuan, selain dikenali sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa, banyak lagi lokasi "hidden gems" yang belum diterokai orang ramai.
Walaupun terkenal sebagai salah sebuah negeri bebas cukai, namun keindahan yang ditawarkan pulau ini belum cukup padu untuk menarik pelancong domestik khususnya untuk mengembara ke sana.
Penulis sendiri teruja dengan keindahan alam marin di Pulau Rusukan Besar dan Pulau Kuraman misalnya yang perlu untuk dinikmati oleh semua.
Dengan pengiktirafan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan pastinya banyak keunikan flora dan fauna yang ditawarkan untuk pengunjung ke pulau ini.
Segala inisiatif dan tindakan kerajaan begitu menyeluruh baik dari aspek ekonomi, sosial dan pembangunan untuk kelestarian Wilayah Persekutuan, langkah terbaik untuk mengekalkan kawasan hijau di ibu negara perlu dipergiatkan.
Ia selari hasrat Kerajaan yang menyasar Wilayah Persekutuan menjadi bandar pintar menjelang 2030.
Oleh itu, penulis berharap JWP dapat memastikan agenda pembangunan untuk masa depan Wilayah Persekutuan memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang dengan mengimbangi pertumbuhan ekonomi serta keperluan sosial dan alam sekitar.
Semua inisiatif itu menjadikan suasana kehidupan di Wilayah Persekutuan lebih meriah, selamat dan selesa untuk didiami, menjadikannya lokasi unggul bukan saja warganya, malah rakyat Malaysia Madani keseluruhannya.
Sumber: Harian Metro
Bandar raya berdaya huni
Comments