top of page

Bajet 2023 perlu lima langkah penyesuaian dasar ekonomi drastik


Bajet 2023 perlu lima langkah penyesuaian dasar ekonomi drastik Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan

Cabaran besar ekonomi sekarang ialah suasana geopolitik tidak menentu, terutama krisis Russia-Ukraine dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Krisis itu meningkatkan harga gandum, manakala kenaikan harga minyak menyebabkan Malaysia terpaksa menanggung subsidi tinggi sehingga RM80 bilion.


Harga minyak dan permintaan meningkat antara faktor peningkatan inflasi 3.4 peratus dan indeks makanan (6.1 peratus) pada Jun lalu.


Subsidi di luar jangkaan menyebabkan perbelanjaan negara pada pembangunan turut terjejas kerana penjimatan terpaksa dilakukan bagi menampung subsidi tinggi.


2023 diramalkan sebagai tahun mencabar kerana risiko luar jangka terutama kelembapan ekonomi global lebih meruncing. Malaysia tidak boleh mengharapkan ia terus menghantui ekonomi negara dengan teruk, tetapi beberapa penyesuaian polisi ekonomi drastik perlu dilakukan bagi mengelak negara jatuh ke kancah kemelesetan ekonomi.


Bajet 2023 yang dikatakan dibentang pada September ini lebih awal daripada kebiasaan perlu menggariskan beberapa langkah efektif. Lima perkara utama perlu dipastikan berada dalam kedudukan diingini.


Pertama, kadar inflasi rendah; kedua, kadar pengangguran rendah; ketiga, bajet negara berimbang; keempat perdagangan antarabangsa menguntungkan dan kelima, nilai mata wang stabil di pasaran dunia.


Bagi memastikan inflasi sentiasa rendah, Kementerian Kewangan perlu mencari formula supaya pengeluaran dipertingkatkan. Bantuan dan insentif kepada pengeluar di sektor makanan perlu diberikan supaya pengeluaran makanan dapat dipertingkatkan.


Natijah daripada COVID-19 dan penutupan ekonomi, menyebabkan banyak pengeluar gulung tikar hingga pengeluaran makanan merosot dengan mendadak, akhirnya harga makanan melonjak tinggi.


Pinjaman dengan kadar faedah rendah perlu diberi untuk membolehkan pengeluar membeli semula mesin, alatan dan modal bagi memulihkan semula perniagaan, seterusnya meningkatkan pengeluaran.


Di sektor perladangan, kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah kekurangan pekerja di ladang kelapa sawit dan mengurangkan isu birokrasi bagi membawa masuk pekerja asing untuk bekerja di ladang. Negara sumber alternatif selain Bangladesh perlu disenaraikan untuk pekerja di ladang.


Kerajaan disaran lebih menumpukan pengawalan hutang isi rumah supaya terkawal kerana ahli ekonomi Australia, Prof Steve Keen dalam karya terbarunya, The New Economics berpendapat punca inflasi tinggi juga disebabkan cetakan wang tidak terkawal bukan hanya oleh Bank Negara, bahkan bank swasta secara tidak langsung melalui hutang diberikan kepada individu.


Setakat Disember tahun lalu, hutang isi rumah di negara ini adalah pada kadar 89 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini agak tinggi, terutama pinjaman perumahan dan kereta. Kerajaan perlu mencari insentif dan strategi supaya rakyat lebih yakin menyewa daripada membeli rumah supaya tidak terbeban hutang jangka panjang.


Bagi memastikan kadar pengangguran rendah, pada 2023 kerajaan perlu mencari jalan bagi memulihkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.


Walaupun banyak kontroversi, perbelanjaan infrastruktur seperti ini terbukti mampu meningkatkan aktiviti ekonomi serentak dengan pengukuhan ekonomi lebih besar.


Peningkatan aktiviti ekonomi di sepanjang koridor HSR akan membuka banyak peluang pekerjaan terutama di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Pembangunan di negeri ini dapat dipertingkatkan melalui aktiviti ekonomi baharu, sekali gus menarik pelaburan asing ke negeri lain yang bukan hanya tertumpu di Lembah Klang.


Cari kaedah terbaik urus projek mega

Bagaimana kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengembalikan projek terserah kepada kebijaksanaan kerajaan. Yang penting projek ini mempunyai analisis kos faedah positif. Projek ini juga mesti sentiasa dipantau Parlimen untuk 'membunuh' kaki broker dan komisen serta peniaga ali baba yang akan meningkatkan kos projek.


Sudah tentu antara dasar penting setiap bajet adalah dasar percukaian negara melalui dasar fiskal. Bagi memastikan kita menuju bajet berimbang, Kementerian Kewangan perlu memastikan percukaian efektif.


Efektif di sini bukan bersifat zalim dengan menekan pembayar cukai, terutama pegawai kerajaan dan pekerja swasta membayar cukai setiap tahun dengan potongan gaji melalui audit ketat, tetapi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mengarahkan sumber mencari golongan maha kaya cuba lari daripada cukai.


Cukai jualan boleh ditingkat sedikit yang sekarang pada kadar 10 peratus bagi meningkatkan pendapat negara. Untuk rekod, bukan semua barangan dikenakan cukai jualan. Cukai jualan hanya dikenakan kepada pengilang mempunyai jumlah jualan pada kadar tertentu.


Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga perlu ditolak memandangkan prinsip percukaiannya dikenakan berdasarkan kepenggunaan bukan pada keuntungan atau hasil jualan. Prinsip utama percukaian mestilah didasari cukai pada keuntungan bukan pada kepenggunaan.


Kaji Cukai Keuntungan Modal

Dalam hal ini, kerajaan perlu mengkaji pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) bagi mencukai pemodal mendapat keuntungan berlebihan hasil penjualan saham.


Perlu diingat ini hanya untuk penjualan saham kerana golongan pemodal mendapat keuntungan melalui jual beli saham perlu dicukai sedikit oleh kerajaan memandangkan sebelum ini tiada langsung cukai dikenakan. Pada masa inilah golongan pemodal perlu merasai sama kesusahan rakyat.


Kerajaan perlu mengenakan cukai peniaga mendapatkan dana kerajaan dalam membina perniagaan dan akaun sentiasa menunjukkan kerugian, tetapi pemegang saham mendapat laba tinggi hasil penjualan saham dalam syarikat mereka melalui teknik dan kaedah meningkatkan saham syarikat bukan pada asas sebenar.


Bagi memastikan perdagangan antarabangsa kita berada dalam landasan betul, eksport negara mestilah lebih daripada import. Insentif perlu diberikan kepada pengeksport supaya lebih banyak produk dapat dipasarkan ke luar negara terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Akhir sekali, bagaimanakah nilai ringgit dapat distabilkan? Nilai mata wang berdasarkan keyakinan pelabur dan pembeli barangan kita. Untuk itu, kerajaan perlu memastikan eksport komoditi dan produk petroleum dijual dalam mata wang ringgit, manakala mana-mana kontrak jualan dibayar dalam dolar AS perlu dipinda bagi memastikan ringgit digunakan dengan meluas dan mengembali kekuatannya.


Paling penting ialah kerajaan stabil. Benar, kerajaan sekarang tidak stabil dan kita memerlukan pilihan raya segera. Namun, pilihan raya sahaja tidak bermakna kita mendapat kerajaan stabil.


Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu memilih satu kerajaan mempunyai mandat dan majoriti meyakinkan bagi satu penggal supaya pemulihan ekonomi dapat dijalankan tanpa gangguan ketidakstabilan politik.


Namun, kerajaan stabil sahaja tidak bermakna jika terpalit skandal dan rasuah. Oleh itu, kerajaan perlu segera memperkenalkan Akta Pendanaan Politik supaya gejala rasuah boleh dihapuskan.


Penulis adalah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)


Sumber: Berita Harian

5 views
bottom of page