TELUK INTAN: Penduduk dan pencinta warisan di daerah ini mahu Istana Raja Muda di sini yang dibatalkan cadangan untuk penjualannya segera dibaik pulih dan kawasan sekitarnya dibangunkan.
Pengerusi Warisan Persatuan Sejarah Hilir Perak, Saiful Rezal Mohd. Razali berkata, pengumuman kerajaan negeri yang membatalkan penjualannya merupakan titik permulaan untuk melihat istana itu kembali dijaga.
Menurutnya, setelah sekian lama terbiar sehingga dinaiki semak samun, keputusan kerajaan negeri kelmarin yang membatalkan penjualannya membuka laluan kepada usaha baik pulih bangunan lama itu.
“Istana ini perlu dibaiki pulih dengan segara untuk memastikan tiada lagi kerosakan yang berlaku. Pokok yang tumbuh dan menjalar di seluruh bangunan istana ini perlu dibuang kerana ia merupakan ancaman utama kepada kerosakan teruk struktur istana ini.
“Maka adalah wajar kepada pihak yang bertanggungjawab segera melaksanakan kerja baik pulih bangunan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, persatuan menyambut baik keputusan kerajaan negeri membatalkan penjualan istana lama itu kerana ia merupakan warisan sejarah yang bernilai tinggi terhadap kesultanan negeri ini.
“Istana ini boleh juga diperbaiki dan tapaknya dimajukan sebagai tarikan pelancong di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Tajol Hasnan Mohd. Rasit, 76, bersyukur kerana penjualan istana tu dibatalkan dan keputusan itu menamatkan keresahan masyarakat di sini yang tidak bersetuju dengan penjualannya.
“Sebaik-baiknya simpanlah tanah-tanah raja Melayu ini atau sejarah yang ada dibangunkan kerana ia mencerminkan kedaulatan negeri Perak,” katanya.
Dia juga berharap istana itu dimajukan segera seperti dijadikan bangunan untuk aktiviti agama agar tidak lagi timbul cadangan untuk menjualnya.
“Majukan tempat ini dengan pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sebagai mall atau pusat membeli-belah sebab sudah banyak mall di sini dan bukan semuanya milik orang Melayu,” katanya.
Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan Perak sudah membatalkan tender penjualan tapak bekas Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di sini.
Menurutnya, pembatalan itu dibuat selepas tender secara terbuka untuk laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur itu mendapat bantahan orang ramai.
Sumber: Utusan Malaysia
Comments