Masalah pengorekan dan baik pulih jalan yang tidak sempurna bukanlah satu perkara baharu di negara ini.
Di bandar utama di mana pembangunan berlaku dengan pesat, kerja pengorekan dan penurapan semula jalan adalah satu perkara yang biasa dihadapi.
Rakyat memahami situasi ini, pembangunan adalah perlu dalam menuju ke arah negara maju, di mana manfaatnya akan dirasai oleh rakyat juga apabila kualiti hidup menjadi lebih baik.
Namun, masalah timbul apabila kerja penurapan semula jalan yang dikorek tidak sempurna dan tidak kemas ketika proses baik pulih jalan, yang mempengaruhi keselesaan penggunaan jalan raya.
Pengorekan jalan dilaksanakan dengan tujuan pemasangan kemudahan asas untuk sesebuah pembangunan. Kemudahan utiliti air, elektrik, pembetungan, dan telekomunikasi membabitkan pemasangan peralatan berkaitan, justeru memerlukan pengorekan jalan bagi tujuan berkenaan, contohnya untuk kabel dan paip.
Kerap kali apabila pemasangan sudah selesai, jalan raya tidak dibaik pulih dengan sempurna menyebabkan mendapan, jalan berlubang, turapan pecah dan permukaan jalan tidak rata. Ini boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya.
Masalah ini perlu ditangani dengan segera. Bukan sahaja ia membahayakan orang ramai, malah ia memberi persepsi negatif kepada pelabur, peniaga, dan pelancong yang datang ke Malaysia.
Bagi pemaju, penyedia perkhidmatan utiliti dan kontraktor, situasi ini tidak produktif kerana kerja penurapan perlu dilakukan secara berulang di mana kos tempoh masa akan bertambah, operasi akan meningkat, penggunaan sumber tidak efektif serta masa pembangunan akan bertambah.
Pengorekan, baik pulih jalan raya di Kuala Lumpur
Kuala Lumpur mempunyai lebih 2,000 kilometer jalan raya, antara yang tertinggi di Malaysia.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima lebih 500 permohonan pengorekan jalan untuk tujuan pemasangan utiliti setiap tahun.
Tambahan kepada jumlah ini ialah permohonan kecemasan seperti untuk pembaikan paip pecah.Pada tahun 2021, permintaan pengorekan kecemasan menjangkau lebih 15,000 permohonan. Ini tidak termasuk permohonan permit kerja lanjutan.
Peraturan dan garis panduan untuk kerja baik pulih jalan yang lengkap, sistematik dan menyeluruh telah disediakan oleh DBKL.
Spesifikasi dan garis panduan kerja, lukisan teknikal standard, jenis bahan yang digunakan, cadangan kaedah pengorekan, pengurusan permohonan dan siap kerja, caj yang dikenakan dan lain-lain perkara berkaitan pengorekan jalan juga telah disediakan oleh DBKL.
Pendek kata, semua aspek diambil kira agar kerja baik pulih jalan raya boleh dilaksanakan dengan kemas. Namun masalah yang sama masih timbul.
Tetap wujud jalan yang tidak dibaik pulih dengan sempurna setelah selesai kerja-kerja pemasangan utiliti. Aduan terus diterima daripada orang ramai.
Pendekatan Behavioural Insights (BI), kerja baik pulih jalan produktif
Behavioural Insights (BI) diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) sebagai salah satu kaedah dalam penggubalan dan penyampaian dasar awam.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diberi mandat untuk meneraju penerapan kaedah BI dalam pembangunan dasar dan peraturan.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata kaedah BI menyelami bagaimana dan mengapa manusia membuat keputusan dan bertindak. Ia menggabungkan elemen daripada bidang psikologi, sains kognitif dan sains sosial dengan bukti empirikal dalam mendalami bagaimana manusia membuat pilihan.
"Apabila penyebab utama sesuatu tingkah laku dapat dikenal pasti, intervensi boleh dirangka dengan tertumpu kepada punca itu. "Kaedah ini dilihat produktif kerana ia mampu membawa kepada penyelesaian masalah yang lebih berkesan dengan impak jangka masa panjang.
"Dalam perkara berkaitan pengorekan dan baik pulih jalan yang tidak sempurna, semua pemegang taruh utama perlu diberi perhatian. Pilihan dan tingkah laku orang ramai, kontraktor, penyedia perkhidmatan utiliti, pemaju dan pengawal selia perlu difahami bagi merangka intervensi melalui kaedah BI," katanya.
Dengan mengguna pakai pendekatan BI, MPC sedang berkerjasama dengan DBKL bagi mencari penyelesaian terbaik bagi masalah pengorekan dan baik pulih jalan yang tidak sempurna.
Dapatan daripada kajian awal mendapati, salah satu punca masalah ini ialah pelaksanaan kerja yang tidak kemas oleh kontraktor dilantik. Terdapat kontraktor yang tidak mengikuti spesifikasi dan peraturan kerja yang telah ditetapkan serta menukar kaedah pengorekan setelah mendapat kebenaran. Kerja pemampatan tidak dijalankan dengan betul dan penggunaan bahan asas yang tidak berkualiti menyebabkan turapan cepat rosak.
Ada juga kontraktor yang tidak cakna dengan persekitaran menyebabkan kerosakan di sekeliling lokasi korekan. Kurang komunikasi dan koordinasi yang berkesan antara kontraktor, penyedia perkhidmatan utiliti dan pemaju juga turut dikenal pasti sebagai salah satu punca permasalahan.
Berdasarkan penemuan awal ini, MPC dan DBKL akan meneliti dengan lebih mendalam maklumat yang diperolehi dan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak kontraktor. Cadangan penyelesaian akan dirangka dan dibentangkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, yang memandang serius permasalahan ini.
Langkah pelaksanaan kaedah BI
Penerapan BI dalam menangani masalah pengorekan dan baik pulih jalan menggunakan kaedah PRIME yang memberi gambaran lebih jelas mengenai isu itu. Rangka penyelesaian mudah tanpa perlu menggunakan sumber dan kos yang tinggi bagi memastikan proses kerja lebih produktif dan hasil yang sempurna boleh dicapai, dengan memahami tingkah laku dan tindakan kumpulan sasaran.
Langkah pertama ialah mengenal pasti tujuan (P-Purpose) intervensi yang merangkumi pengenalpastian isu atau permasalahan yang hendak ditangani. Fasa ini turut mengenal pasti kumpulan sasaran dan jangkaan impak tingkah laku.
Penemuan awal berkaitan punca masalah pengorekan dan baik pulih jalan yang tidak sempurna diperolehi pada fasa ini. Langkah kedua ialah membuat semakan (R-Review) di mana pengamal BI akan mengumpul data dan maklumat serta bukti berkaitan projek.
Tindakan dan tingkah laku kumpulan sasaran dan konteks sekelilingnya juga dikaji bagi memahami punca dan asas isu yang hendak ditangani. Kemudian, cadangan untuk intervensi tingkah laku dirangka dan dicadangkan.
Pada langkah ketiga, iaitu intervensi (I-Intervention), strategi berdasarkan rangka tingkah laku yang bersesuaian dibangunkan dengan mengambil kira saiz sampel kumpulan sasaran dan kebolehlaksanaan intervensi.
Pelaksanaan intervensi BI untuk jalan raya di Kuala Lumpur dijangka akan dilaksanakan pada awal tahun 2023.
Pengukuran (M-Measure) adalah fasa di mana penilaian perubahan tingkah laku dilaksanakan. Data yang dikumpul seterusnya dikaji bagi mengukur keberkesanan dan impak intervensi.
Langkah terakhir ialah memperluaskan (E-Expand) pelaksanaan intervensi. Pada peringkat ini, kesan, kesediaan dan tahap kesedaran kumpulan sasaran dan masyarakat perlu dipertimbangkan sebelum pelaksanaan secara meluas.
Sumber: Berita Harian
Comments