top of page

AWER bantah MOF lupus saham IWK kepada Ranhill Utilities Bhd


Gambar hiasan

SHAH ALAM - Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) membantah keras tindakan Kementerian Kewangan (MOF) melupuskan saham Indah Water Konsortium (IWK) kepada Ranhill Utilities Bhd kerana ia terpesong daripada Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara.


Presiden AWER, S Piarapakaran berkata, pengumuman oleh Ranhill Utilities Bhd baru-baru ini kepada Bursa Malaysia mengenai keputusan MOF untuk memulakan langkah pelupusan saham IWK kepada Ranhill Utilities Bhd sangat mengecewakan.


"Kami menggesa MOF menghentikan langkah ini dengan segera dan meneruskan pelaksanaan model penstrukturan semula yang dipersetujui sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2006.


"Langkah MOF pasti akan memberikan impak besar kepada proses penstrukturan semula. Ini bukan kali pertama kumpulan pelobi cuba menggagalkan penstrukturan semula," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Piarapakaran berkata, langkah MOF untuk memesong daripada proses penstrukturan semula itu akan menyebabkan kerajaan negeri mempersoalkan kesahan (legitimacy) langkah tersebut dan mungkin berjuang untuk membatalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana kerajaan Persekutuan gagal mengikuti rancangan penstrukturan semula yang sebenar.


Menurutnya, penggabungan komponen perawatan air, bekalan air dan pembetungan dilihat sebagai model terbaik untuk memastikan kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar setelah membandingkan banyak model di seluruh dunia.


Tambah beliau, entiti swasta dilihat sangat berminat untuk mengambil alih operasi IWK disebabkan oleh ramalan perbelanjaan modal (capex) fiksyen di bawah perancangan IWK yang dikatakan bernilai RM60 bilion dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini mendekati RM100 bilion.


"Oleh itu, mana-mana entiti swasta yang dapat mengawal operasi IWK akan dapat mengawal capex seperti model perjanjian konsesi air dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi pertama.


"Setelah capex fiksyen tersebut dibelanjakan, syarikat ini akan berusaha sebaik mungkin untuk menaikkan tarif pembetungan dan jika kenaikan tarif tidak berlaku, kerajaan akan 'dipaksa' untuk mengambil alih operasi (bailout) dengan wang pembayar cukai.


"Kami yakin ramai rakyat Malaysia telah melihat modus operandi jenis ini dalam penswastaan Malaysia atau dikenali sebagai 'Penlanunan' (Piratisation). Pelobi tidak akan rugi. Nilai buku (One time Book Value) atau proses bailout oleh kerajaan tidak akan menyiasat bagaimana wang itu disalurkan melalui anak-anak syarikat yang akan melaksanakan capex fiksyen sebagai kontraktor dan sub-kontraktor," katanya.


Piarapakaran berkata, AWER telah melihat cadangan IWK dalam unjuran capex fiksyen mereka dan mendapati banyak percanggahan dan pihaknya telah meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyiasat dan melakukan audit terperinci beberapa tahun lalu.


Beliau berkata, situasi kali ini bukan percubaan pertama untuk mengambil alih IWK kerana pada 2011, AWER telah menentang rancangan penswastaan IWK dan kerajaan menghentikan langkah tersebut.


"AWER telah mencadangkan rancangan penstrukturan semula IWK kepada MOF dalam proses perundingan belanjawan 2021.


"Rancangan ini akan memecah operasi IWK menjadi entiti berasaskan negeri dan digabungkan dengan syarikat air negeri masing-masing dalam tiga fasa (semasa Rancangan Malaysia ke-12)," katanya.


Fasa satu membabitkan Selangor (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Johor, Melaka, Labuan dan Pulau Pinang akan siap menjelang Jun 2022, manakala fasa dua melibatkan Kedah, Perlis, Perak dan Negeri Sembilan yang akan siap pada akhir 2023.


Fasa tiga pula merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang yang akan siap pada akhir 2025.


Sehubungan itu, katanya, AWER menggesa menteri MOF dan Kabinet untuk masuk campur dan tidak membiarkan cadangan penswastaan IWK ini diteruskan.


"Kita perlu melaksanakan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara yang sebenar untuk memastikan jaminan air tercapai.


"Sebarang pemesongan hanya akan mengancam jaminan bekalan air di Malaysia dan akan menelan belanja lebih tinggi pada masa hadapan untuk mengatasi masalah-masalah yang akan timbul," katanya.


Sumber: Sinar Harian

12 views
bottom of page