top of page

Antara maaf dan kesulitan amat dikesali


Gambar hiasan

APABILA Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan segera memohon maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang cedera ringan kerana terlanggar lubang ketika berbasikal baru-baru ini, itu bukan perkara luar biasa.


Kenapa saya kata begitu? Yang betulnya, JKR sentiasa memohon maaf. Itu kebanyakan kita tidak sedar. Tetapi itulah permohonan maaf tersebut ditujukan khas kepada menteri itu secara terbuka. Tidak secara umum seperti kebiasaan yang kita selalu ‘lihat’.


Sejak dulu lagi, rasanya saya sudah melihat papan tanda tertera di tepi jalan – ‘Harap maaf kerja-kerja pembinaan di hadapan, kesulitan amat dikesali’ dan ‘Harap maaf, jalan sedang di selenggara’. Sehinggalah sekarang, ayatnya hampir sama saja. Pusing-pusing di situ juga.


Dan sehingga sekarang bukan setakat JKR, banyak pihak termasuk jabatan kerajaan lain dan swasta yang menggunakan ayat-ayat itu, kesulitan amat dikesali. Sama ada betul-betul kesal atau tidak, yang penting sekurang-kurangnya ia adalah percubaan untuk menyejukkan hati pihak yang terjejas. Berjaya atau tidak, itu belakang kira.


Dulu sewaktu saya mula bekerja sebagai wartawan kadet, seorang pengarang berita mengingatkan saya. Katanya, kita jangan ada ‘budaya JKR’. Apa bendanya itu? Tanya saya dalam hati. Takut saya bertanya terus kerana dia garang. Tetapi tanpa saya bertanya pun, dia terus merujuk kepada ‘kesulitan amat dikesali’ itu. Jangan buat silap, nanti kita semua susah, kata-kata itu saya masih ingat sampai sekarang. Tetapi itu dululah, kira-kira 20 tahun lalu.


Sekarang ini saya fikir, banyak jabatan kerajaan sudah efisien. Cepat dan cekap buat kerja. Jabatan Pendaftaran Negara, contohnya, saya rasa jauh beza perkhidmatannya berbanding dahulu.


Apa pun, persoalan yang lebih besar di sini, cukupkah dengan memohon maaf? Jalan berlubang bukan isu baru. Yang meninggal dunia dan cedera parah akibatnya banyak. Sama ada terlanggar lubang atau mengelak lubang, ia satu musibah dan kesedihan kepada keluarga yang ditanggung dan ditinggalkan.


Media pun kerap melaporkan kemalangan akibat jalan berlubang dan tinjauan mengenainya sejak dulu lagi sudah bersiri-siri. Ia bukan rekaan atau fitnah.


Sama ada pihak JKR ada memohon maaf pada mangsa atau keluarga mangsa yang meninggal dunia atau cedera parah itu saya tidak pasti. Tetapi persoalan lebih utama bukan pasal minta maaf. Keselamatan pengguna jalan raya bukan isu yang boleh dikompromi. Bukan memohon maaf selepas nasi sudah menjadi bubur.


Dan kenderaan rosak kerana terlanggar lubang pula bagaimana? Bila rosak siapa tanggung kos memperbaiki? Tentu pemilik kenderaan terpaksa perbaiki dengan wang sendiri. Jika itu saja kenderaan yang mereka ada untuk mencari rezeki, mereka tidak punya pilihan terpaksa perbaiki segera. Ini yang membuat orang ramai rasa terbeban dan perlu diingat, mereka pembayar cukai jalan.


Difahamkan, JKR memerlukan kira-kira RM1 bilion untuk memperbaiki jalan berlubang di seluruh negara dalam setahun. Sedangkan peruntukan diterima tidak sebanyak itu.


Justeru pada saya, isu kos boleh ditangani sekiranya jabatan ini mempunyai sistem penyelengaraan dan pemantauan yang baik. Maksudnya, setiap kontraktor dilantik perlu mengikuti spesifikasi kerja turapan contohnya.


Pastikan menggunakan bahan berkualiti supaya tidaklah hari ini diturap, esok lusa berlubang.


Pastikan kerja-kerja dilakukan bukan ketika hujan, konon hendak menunjukkan gigih bekerja, walhal turapan pada hari hujan akan merosakkan semula jalan dan pastikan kerja-kerja itu dilakukan kontraktor terbabit bukan kontraktor mengalibabakan pula pada pihak lain.


Dan pada masa sama, JKR juga boleh saja membuat peraturan, kenderaan bermuatan berat tidak boleh melalui jalan-jalan tertentu. Jika ingkar, saman saja.


Saya tidak mengecam JKR. Bukan semua jalan rayanya berlubang. Dan bukan semua jalan diletakkan di bawah JKR. Ada beberapa negeri, jabatan ini cukup efisien. Tetapi apabila isu jalan berlubang ini berterusan membebankan pengguna jalan raya dan nyawa jadi taruhannya, kos dan perlu masa untuk perbaiki dijadikan alasan, itu sudah tidak betul.


Semoga harap maaf dan kesulitan amat dikesali bukan menjadi mainan di papan tanda. Kita sibuk mahu jadi negara maju. Kalau jalan raya pun berlubang di sana sini. Mana datang majunya itu?


13 views
bottom of page