top of page

Akhirnya penduduk Kampung Ba Pakan dapat bekalan elektrik



Miri: Penantian lebih dua dekad penduduk Penan di Kampung Ba Pakan, Sungai Patah untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) berakhir semalam.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, bekalan elektrik itu sekali gus menambah satu lagi kemudahan penduduk di penempatan suku kaum Penan.


"Projek SARES ini satu inisiatif bijak kerajaan negeri bagi menyediakan bekalan elektrik buat penduduk di kawasan pedalaman," katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Projek SARES Kampung Ba Pakan di sini, hari ini.


Katanya, pelaksanaan projek SARES membawa impak positif terhadap kehidupan penduduk yang tinggal jauh dari kawasan bandar.


"Penduduk juga akan dilatih menyelenggara sistem solar masing-masing secara berkala.


"Pasukan SARES terdiri daripada kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB) akan bersedia memberi segi sokongan teknikal membantu penduduk terutama memperbaiki sistem solar yang mengalami kerosakan," katanya.


Beliau berkata, SEB akan meluaskan lagi pelaksanaan projek SARES ke kampung lain di kawasan Telang Usan bagi membolehkan semua penduduk menikmati kemudahan elektrik hasil usaha kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Sejak diperkenalkan pada 2016, projek SARES memberikan manfaat buat 8,000 penduduk di 270 kampung dan rumah panjang di negeri ini.


Bagi kawasan Telang Usan pula, projek SARES memberikan manfaat buat 2,500 penduduk dari 51 perkampungan di kawasan Dun Telang Usan.


Sumber: Harian Metro

3 views

コメント


bottom of page