top of page

Ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa 69 pertuduhan palsu dokumen tipu JKR, berdepan 483 tahun penj


SEORANG pengarah syarikat bergelar Datuk hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada hari ini bagi pertuduhan sebanyak 69 kes rasuah. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berhadapan dengan penjara sehingga 483 tahun apabila didakwa melakukan 69 pertuduhan memalsukan pelbagai dokumen bagi tujuan menipu Jabatan Kerja Raya (JKR) antara Jun 2019 sehingga September 2020.


Tertuduh, Adly Kamarudin, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan selama lebih satu jam bermula pukul 10.20 pagi di hadapan Hakim Rozilah Salleh.


Berdasarkan kesemua pertuduhan, Adly didakwa telah melakukan persubahatan dengan mengarahkan seramai lapan individu untuk memalsukan 60 dokumen pelbagai projek dengan tujuan menipu JKR.


Kesemua dokumen terbabit termasuk Surat Setuju Terima bertajuk kerja-kerja penyelenggaraan di kampus Sultan Azlan Shah untuk Tetuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), surat pemberitahuan penerimaan tender Majlis Perbandaran Seremban, Surat Setuju Terima Tender Lembaga Getah Malaysia, Surat Setuju terima Tender Lembaga Lebuhraya Malaysia, Surat Setuju terima Tender Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Surat Arahan Mula Kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Surat Setuju Terima Tender Kementerian Pertahanan, Surat Setuju Terima Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) iaitu membina dan menyiapkan 50 rumah kakitangan.


Dia turut berhadapan pertuduhan mengarahkan beberapa individu untuk memalsukan beberapa dokumen Borang A Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuh buah syarikat iaitu bagi syarikat KSB Global Sdn. Bhd., Syarikat Sekilau Bina Sdn. Bhd., Syarikat Era Utama Sdn. Bhd., Syarikat Utusan Teguh Sdn. Bhd., Syarikat Merak Kayangan Sdn. Bhd., Lapisan Rezeki Sdn. Bhd. dan Syarikat Teraju Laksana Sdn. Bhd.


Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan 2/1G, Mutiara Bangi, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat antara Jun 2019 hingga September 2020.


Tertuduh yang turut mempunyai perniagaan pelancongan di Jakarta, Indonesia itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan itu tidak boleh dijamin namun tertuduh hanya boleh dibebaskan dengan jaminan atas budi bicara pihak mahkamah.


“Pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh dijamin dan jika diberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin tempatan selain syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali dalam sebulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah,” katanya.


Bagaimanapun, peguambela, Md. Yunus Shariff menegaskan pihaknya tidak membantah jumlah jaminan tersebut namun memohon budi bicara mahkamah supaya pasport antarabangsa anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana sebagai ahli perniagaan, dia perlu ke luar negara jika diperlukan.


“Sejak tangkapan dibuat pada 4 April lalu dan dikenakan tahanan reman sehingga 16 April, anak guam saya telah sempurnakan dan mematuhi arahan kehadiran melapor diri di pejabat SPRM, Kuala Lumpur.


“Kami memohon pertimbangan mahkamah agar pasport antarabangsa tidak diserahkan kerana bila boleh bergerak ke luar negara atas urusan perniagaan, ia akan mendatangkan kesukaran. Cadangan pihak kami akan memberikan akujanji untuk memberitahu pada pihak mahkamah dan salinan kepada pihak pendakwa raya tentang pergerakan ke luar negara jika diperlukan,” katanya.


Mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.


Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya pasport antarabangsa tertuduh tidak diserahkan namun tertuduh melalui peguam bela perlu memaklumkan kepada mahkamah secara e-mel tujuh hari sebelum pergerakan ke luar negara dilakukan.


Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya diberikan tempoh sehingga pukul 11 pagi esok bagi menjelaskan jumlah jaminan yang ditetapkan.


Kes ditetapkan untuk sebutan pada 3 November hadapan.


Akhbar pada 7 April lalu melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk hanya mengambil tujuh tahun untuk mengumpul kekayaan melampau yang mencecah jutaan ringgit menerusi penglibatannya sebagai kartel projek-projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion.


Kemewahan yang dimiliki suspek itu terbongkar selepas SPRM menahan suspek pada 4 April lalu serta membuat rampasan dan sitaan pelbagai aset termasuk kenderaan mewah, wang tunai, kapal layar serta dua buah helikopter persendirian.


822 views

Comments


bottom of page