top of page

39,000 kontraktor gulung tikar


RAMAI kontraktor negara ini ‘gulung tikar’ kerana ketiadaan projek pembinaan atau projek dihentikan sementara.

Kuala Lumpur: Dua tahun pandemik Covid-19 melanda dunia menyaksikan ramai kontraktor negara ini 'gulung tikar' kerana ketiadaan projek pembinaan atau projek dihentikan sementara.


Disebabkan itu, mereka tidak lagi memperbaharui Sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (SPPK) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) masing-masing hingga terpaksa beralih melakukan pekerjaan lain atau ada antaranya masih menganggur.


Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, beliau menganggarkan 30 peratus daripada kira-kira 132,000 kontraktor negara ini gulung tikar atau tidak mampu bertahan meneruskan operasi perniagaan.


"Sejak 2018 lalu, kira-kira 49,606 kontraktor tamat perkhidmatan dan tidak memperbaharui sijil SPPK CIDB mereka.


"Angka itu semakin meningkat setiap tahun terutama pada pandemik Covid-19 apabila 10,162 sijil direkodkan pada 2020, diikuti 17,527 (2021) serta 10,096 setakat April tahun ini berbanding 5,845 (2018) dan 5,976 (2019)," katanya.


Menurutnya, faktor mempengaruhi trend itu antaranya pemilik sijil pendaftaran atau lesen tunggal meninggal dunia menyebabkan tidak boleh meneruskan projek kerana tiada kemampuan dari segi kewangan dan kepakaran.


Katanya, selain itu ia juga disebabkan harga barang asas binaan meningkat serta ditamatkan perkhidmatan selain kesan penularan Covid-19.


"Bukan senang untuk bertahan dalam keadaan pandemik dengan tiada pekerja akibat pembaharuan permit dihentikan dan projek baharu tidak masuk kerana untuk mengekalkan lesen dan operasi syarikat memang memerlukan kos besar.


"Akibatnya, ramai kontraktor terpaksa gulung tikar, bankrap, rumah dilelong dan akhirnya jatuh miskin.


"Ada antara kontraktor yang saya kenali terpaksa beralih bidang kerja lain, malah ada antara mereka masih menganggur hingga kini," katanya.


Menurutnya, faktor tidak berkemampuan untuk mengekalkan lesen serta mempertahankan syarikat kerana tiada tender atau dihimpit masalah lain juga mengakibatkan segelintir daripada mereka tiada pilihan selain terpaksa menjual lesen dimiliki kepada orang lain demi kelangsungan hidup.


"Untuk makluman, penjualan lesen kontraktor tidak salah di sisi undang-undang dan ia hanya perlu melalui beberapa proses dokumentasi termasuk penukaran nama pemilik melalui CIDB.


"Harga ditawarkan biasanya bergantung kepada kelas lesen membabitkan G1 hingga G7.


"Saya ambil contoh lesen kelas G1 biasanya harga ditawarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 dan nilai itu akan menjadi lebih mahal sehingga mencecah ratusan ribu untuk kelas berikutnya," katanya.


Katanya, penjualan lesen atau sijil pendaftaran kebiasaannya adalah langkah terakhir kontraktor selepas mereka tidak mampu lagi mempertahankan lesen dan syarikat mereka.


"Majoriti kontraktor bankrap akibat terjejas dengan pandemik Covid-19 dan mereka sukar meneruskan perniagaan kerana Surat Setuju Terima (LA) sudah lama dan harga barangan pula semakin naik," katanya.


Dulu RM2,500 setan, kini naik RM3,800

Bukan hanya bahan makanan, malah barangan asas pembinaan turut mengalami kenaikan harga berkali ganda hingga membebankan sektor industri.


Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, kenaikan mendadak barangan itu dikesan sejak pandemik Covid-19 dan berterusan sehingga kini.


"Dulu harga besi RM2,500 setan, tetapi kini naik kepa da RM3,800 setan. Simen pula naik beberapa kali sebelum ini daripada 20 peratus, kemudian 30 peratus dan terbaharu 40 peratus. Alasan pembekal kenaikan itu disebabkan harga pasir naik.


"Sedangkan simen ialah harga kawalan, mana boleh dinaikkan sesuka hati, jadi maknanya penguatkuasaan kerajaan perlu lebih tegas.


"Kita tidak menolak memang ada pihak memonopoli bekalan hingga mengakibatkan harga melambung tinggi," katanya kepada Harian Metro.


Katanya, kerajaan perlu mengawal selia harga bahan binaan dengan lebih efektif bagi mengelak lebih banyak syarikat kontraktor terjejas.


"Kalau projek kecil bernilai RM100,000 akan terkesan RM30,000...tetapi contohnya kalau projek bernilai RM100 juta...dia akan rugi RM30 juta mana boleh tahan macam itu... lama-lama boleh gulung tikar.


"Industri (pembinaan) juga akan terkesan kerana harga tender akan naik dan akhirnya rakyat tidak mampu beli rumah kerana harga rumah mahal disebabkan mahu mengimbangi kos bahan asas, operasi dan sebagainya," katanya.


Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk menyelamatkan industri pembinaan yang semakin terjejas.


"Bagi saya industri (pembinaan) ini memang sudah malap, jadi kita tidak menggalakkan orang lain masuk lagi dalam industri ini buat sementara waktu ini.


"PKMM mencadangkan kerajaan untuk membekukan sijil atau lesen kontraktor baharu buat sementara waktu sehingga ekonomi stabil semula.


"Bagi membela nasib kontraktor sedia ada pula... kita amat mengharapkan kerajaan memperbanyakkan lagi projek kerajaan dan swasta yang menguntungkan supaya boleh mengimbangi semula kerugian dialami kontraktor," katanya.


Guna lesen kontraktor lain bolot projek jutaan ringgit

Menggunakan lesen atau sijil pendaftaran milik kontraktor lain demi membolot tender projek pembinaan bernilai jutaan ringgit.


Itu sikap tamak haloba segelintir kontraktor di negara ini yang terbabit dalam kegiatan kartel kontraktor.


Sumber mendedahkan kegiatan itu masih berlaku, malah sudah wujud sejak lebih 20 tahun lalu.


"Modus operandinya adalah menggunakan lesen kontraktor lain untuk memasuki tender projek besar, tetapi apabila dapat tender dia akan kawal semua termasuk akaun bank syarikat pemilik lesen itu.


"Pemilik sebenar hanya sebagai 'wayang' atau sleeping partner dan akan memperoleh sejumlah komisyen lumayan sebagai ganjaran," katanya kepada Harian Metro.


Katanya, sikap mementingkan diri golongan berkenaan boleh membunuh 'periuk nasi' kontraktor lain dan industri berkenaan.


"Kegiatan ini semakin berleluasa kerana hendak dapat tender projek baharu memang sukar, tetapi kalau guna cara ini senang dapat.


"Kalau dia mohon guna lesen sendiri mungkin tidak memenuhi syarat seperti perlu menyiapkan dulu apa-apa projek yang sedang dalam proses pembinaan, tetapi mungkin sebab tamak jadi dia mahu makan seorang dengan menggunakan taktik kotor ini.


"Implikasi kegiatan ini menyebabkan kontraktor lain sukar cari makan...tambahan lagi pada zaman ekonomi tidak stabil ini dan lama-kelamaan akan 'membunuh' kontraktor lain terutama kontraktor kecil dan Bumiputera," katanya.


Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu turut didalangi 'orang dalam' terbabit dalam menguruskan kelulusan tender projek pembinaan.


"Mesti kegiatan ini ada rantaian dan rakan kongsi. Kalau perlu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan untuk 'gali' dan siasat habis-habisan lagi bagus.


"Kita mohon kerajaan kaji semula dan memantau dengan memastikan satu tender hanya diberikan kepada satu syarikat yang serius membuatnya bukan 'sub' kepada pihak lain," katanya.


Sumber: Harian Metro

9 views
bottom of page