top of page

29 jalan ditutup kepada semua lalu-lintas


29 jalan ditutup kepada semua lalu-lintas Harian Metro www.hmetro.com.my
JALAN Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Batu 24, yang ditutup kepada semua lalu-lintas. FOTO Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Sebanyak 29 jalan termasuk laluan utama Kuala Terengganu ke Kota Bahru, Kelantan, ditutup kepada semua lalu-lintas, selepas ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak semalam.


Menurut portal rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR), tujuh jalan, termasuk laluan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan, di Kampung Bukit Yong, ditutup kepada semua kenderaan, selepas ditenggelami air antara 0.30 meter (m) dan 1.80m.


Sehingga jam 8 pagi ini, jalan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Bukit Yong ditenggelami air sedalam 0.30m sejauh kira-kira 300m.


Laluan lain di daerah Besut yang ditutup adalah Jalan Jertih, Keruak di Kampung Cherang Melilin, Jalan Jertih, Keruak di Kampung Jerubun, Jalan Kampung Raja, Kampung Lampu, Jalan Alor Lintah, Kampung Pinang, Kampung Mok Ka, Jalan Pelagat, Lata Tembakan di Kampung Padang dan jalan bawah Jambatan Jertih.


Jalan berkenaan dinaiki air antara 0.80m dan 1.80m membabitkan jarak antara 70m hingga 1,000m.


Di Hulu Terengganu, jumlah jalan yang ditutup kepada semua lalu-lintas adalah sebanyak enam laluan membabitkan Jalan Batu 24, Pengkalan Ajal di Kampung Pasir Pelata, Jalan Kampung Pueh, Tapah, Payang Kayu, Baung, Kuala Ping di Kampung Felcra Bukit Kepah, Jalan Bukit Perah, Kampung Jak, Kuala Kejir di Kampung Jak, Kejir, Jalan Simpang Gaung, Sungai Tong di Kampung Kuala Ping, Jalan Bukit Diman,Tersat di Kampung Pengkalan Ajal dan di Jalan Sungai Baru,Langkap di Kampung Langkap.


Enam laluan itu ditenggelami air antara 0.76m dan 1.50m sejauh kira-kira 700m hingga 800m.


Turut ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air antara 1.25m hingga 0.8m pada jarak antara 50m dan 1,000m di daerah Kemaman adalah sebanyak lapan laluan.


Bagaimanapun, semua laluan utama termasuk di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) di daerah berkenaan masih boleh dilalui.


Sementara di Dungun lapan laluan ditutup selepas dinaiki air antara 0.80m dan 1.0m.


Laluan berkenaan dinaiki air antara jarak sejauh kira-kira 100m hingga 300m.


Menurut portal rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak 14 laluan di seluruh negeri ditutup kepada kenderaan ringan.


Sumber: Harian Metro


3 views
bottom of page