top of page

161 projek di Melaka diluluskan kerajaan Persekutuan


Gambar hiasan

Ayer Keroh: Sebanyak 161 projek termasuk 39 yang menjadi keutamaan di negeri ini diluluskan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan.


Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sejurus mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Putrajaya, semalam.


Sehubungan itu, Sulaiman berterima kasih kepada Kementerian Kewangan di atas penerimaan awal senarai kelulusan 161 projek itu bagi tempoh Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).


"Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih di atas penerimaan awal senarai kelulusan 161 projek kepada kerajaan negeri bagi tempoh RP1 RMK-12.


"Daripada jumlah itu, sebanyak 39 projek yang perlu diutamakan di negeri ini turut diluluskan oleh kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Pertemuan beliau bersama Tengku Zafrul untuk membincangkan situasi ekonomi di Melaka.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasim Hasan.


Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, perbincangan bersama Tengku Zafrul juga menyentuh mengenai usaha kerajaan negeri mewujudkan zon ekonomi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) berkeluasan 6,070.28 hektar di sepanjang 22 kilometer pesisiran pantai Melaka.


"Cadangan pelan konsep pembangunan M-WEZ adalah seperti aktiviti berasaskan pelabuhan dan perdagangan, hab logistik dan pejabat.


"Ia turut membabitkan perumahan, penginapan dan komersil, perhotelan, marina, pembangunan bercampur dan revolusi industri 4.0 serta zon bebas antarabangsa," katanya.


Sumber: Harian Metro

48 views
bottom of page