top of page

150,000 penumpang dijangka guna RTS sehari



Johor Bahru: Kira-kira 150,000 penumpang menggunakan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) sehari apabila kemudahan itu dijangka beroperasi penghujung 2026.


Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, jangkaan itu membabitkan 50 peratus daripada 350,000 pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan laluan Tambak Johor, sehari.


Beliau berkata, pembangunan RTS membabitkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Bukit Chagar setinggi empat tingkat serta hab pengangkutan multi model dan hartanah campuran di atas tanah berkeluasan 1.49 hektar manakala depoh di Wadi Hana membabitkan keluasan 5.26 hektar.


Katanya, apabila siap, RTS akan menjadi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama yang dibangunkan di Johor sekali gus bakal mengubah landskap pengangkutan bandar raya Johor Bahru.


"RTS sejauh empat kilometer yang menghubungkan KIK Bukit Chagar ke Stesen Woodlands North di Singapura, sudah dimulakan dengan kerja awalan iaitu pembersihan tapak dan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan.


"RTS yang kos ditanggung Malaysia bernilai RM3.7 bilion itu bakal menggunakan lapan set tren dengan setiap satu set tren berkenaan mengandungi empat gerabak dengan kapasiti setiap gerabak adalah seramai 250 pengguna.


"Masa perjalanan adalah hanya lima minit dengan kekerapan tren adalah 3.6 minit ketika waktu puncak dan enam minit waktu bukan puncak. Waktu operasi bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari.


"Harga tiket masih belum ditentukan namun harganya akan kompetitif dan mampu milik bagi pengguna, " katanya pada sidang media majlis pecah tanah RTS secara maya.


Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.


Majlis pecah tanah berlangsung di tapak bangunan KIK Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda, hari ini.


Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.


Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.


Sultan Ibrahim turut berkenan menandatangani plak perasmian disusuli dengan simbolik pecah tanah oleh mesin cerucuk di Bukit Chagar..


Pada masa sama, majlis penuh bersejarah ini turut disaksikan hampir 50 orang di pelbagai lokasi berbeza di Johor Bahru, Putrajaya dan Kuala Lumpur secara maya menerusi aplikasi Zoom.


Sementara itu, Mohd Zarif berkata, kontraktor Bumiputera dari Johor turut akan diberi peluang dalam pembinaan projek RTS yang membabitkan agihan sebanyak RM800 juta.


"Ia membabitkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan RM2 bilion bagi pembinaan RTS.


"Pengumuman untuk peluang kepada kontraktor Bumiputera dari Johor dijangka diumumkan EXCO Kerajaan Johor minggu hadapan," katanya.


Sumber: Harian Metro

5 views

Comments


bottom of page