top of page

115 projek perumahan terbengkalai di Semenanjung setakat Januari lalu


projek perumahan sakit atau terbengkalai
Gambar hiasan

projek perumahan sakit atau terbengkalai

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya memulihkan 226 projek perumahan sakit atau terbengkalai sejak 2009, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.


Beliau berkata, proses penyelesaian itu dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu menyiapkan projek sehingga mendapat sijil layak menduduki membabitkan pemaju penyelamat atau pihak likuidasi, dan persetujuan berkenaan jumlah perlu dibayar balik kepada pihak pembeli.


"Kaedah penyelesaian ketiga ialah menggunakan dana kerajaan melalui peruntukan pembangunan untuk melengkapkan infrastruktur asas projek rumah terbengkalai bagi membolehkan ia mendapat sijil layak menduduki," katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin mengetahui jumlah perumahan terabai secara terperinci dan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) yang terkini.


Pada masa sama, Akmal Nasrullah berkata, sehingga 31 Januari lalu, terdapat 115 projek perumahan terbengkalai di Semenanjung membabitkan 24,525 unit rumah dan 14,206 pembeli.


Beliau berkata, GDV bagi jumlah unit rumah dibina dianggarkan RM7.67 bilion.


Katanya, perincian projek itu membabitkan 47 projek dalam peringkat perancangan bagi mengenal pasti kaedah dan mekanisme pemulihan melalui penyelesaian dipersetujui bersama pemaju penyelamat dan pembeli.


"Sebanyak 45 projek sedang dalam peringkat dipulihkan dan baki 23 projek lagi berada dalam keadaan statik yang dalam penyelesaian pada peringkat perundangan," katanya.


Akmal Nasrullah berkata, melalui pasukan petugas khas ditubuhkan kementerian, kajian sedang dibuat sama ada pindaan boleh dilakukan bagi mengikat syarikat utama dengan anak syarikat yang membangunkan projek terbengkalai ini.


Ini kerana, katanya, berdasarkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, tiada subseksyen khusus bagi menyenarai hitam pihak syarikat pemaju terbabit dalam projek perumahan terbengkalai.


"Bagaimanapun, pada peringkat kementerian, ia boleh dilakukan dengan kuasa menteri membabitkan projek tertentu dengan menyenarai hitam ahli lembaga pengarah atau syarikat berkenaan.


"Sebenarnya banyak projek dilaksanakan yang mana syarikat utama menubuhkan anak syarikat untuk memberi tumpuan kepada projek tertentu, dan apabila masalah berlaku, syarikat utama tidak terkait langsung," katanya.


Beliau berkata, kementerian juga dalam pertimbangan memperkenalkan kaedah jaminan korporat supaya syarikat utama tidak lepas tangan jika berlaku masalah dengan anak syarikat yang terbabit dalam masalah perumahan terbengkalai.


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page