Feb 6

Sarawak guna IBS bina rumah mampu milik untuk B40, M40

Gambar hiasan: Contoh kaedah Sistem Bahan Binaan Berindustri (IBS)

KUCHING: Sarawak menggunakan Sistem Bahan Binaan Berindustri (IBS) yang lebih mesra alam bagi pembinaan rumah mampu milik dan berkualiti untuk golongan B40 dan M40 di negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata selain itu, bahan IBS boleh digunakan dalam komponen untuk membina bangunan komersial yang mesra alam.

"Rumah atau bangunan yang dibuat menggunakan sistem IBS bukan sahaja tahan lama malah hasilnya lebih kemas dan setiap unit yang dibina turut dilengkapi elektrifikasi yang telah dimasukkan dalam komponen pembinaan.

"Jadi, saya yakin dengan adanya sistem IBS yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) CTR, kita dapat membangunkan rumah dengan lebih cepat," katanya pada sidang media selepas perasmian kilang IBS milik LCDA CTR Sdn Bhd di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II ,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Abang Johari juga berkata, antara yang menggunakan sistem IBS di Sarawak ialah projek perumahan di Jalan Depo di sini dan projek pembesaran kampung luar bandar seperti di Kabong (Betong) dan Asajaya (Samarahan).

Sumber: Berita Harian

Sarawak guna IBS bina rumah mampu milik untuk B40, M40

    26