Aug 21, 2020

102 penduduk dapat manfaat Projek SARES

PELAKSANAAN Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) terbukti keberkesanannya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar di negeri ini.

Terbaru, empat rumah panjang dengan 102 isi rumah di kawasan Sebauh, di Bintulu menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam melalui inisiatif berkenaan.

Empat rumah panjang yang mendapat manfaat daripada projek bernilai RM 4.85 juta itu ialah Rumah Lawai Chukai, Rumah Nompang, Rumah Palos dan Rumah Elwin Ugan.

Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek SARES ini merealisasikan impian penduduk khususnya di kawasan pedalaman menikmati bekalan elektrik 24 jam dengan kos yang murah dan menjimatkan.

"Perlaksanaan projek SARES ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dengan bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB).

"Ia terbukti berjaya menerangi kawasan kampung dan rumah panjang di negeri ini, sekaligus membolehkan mereka menikmati bekalan elektrik 24 jam sebagaimana penduduk di bandar, "katanya.

Rundi berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Hakmilik SARES Sebauh Fasa 4 dan Perasmian Program Merdeka @Komuniti Peringkat DUN N69 Kemena di Rumah Patrick Andin Uli, Sungai Serakit, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek SARES turut membabitkan penyertaan komuniti, bermula dari peringkat perancangannya sehingga projek selesai yang mana setiap penduduk akan dilatih melakukan penyelenggaraan secara berkala terhadap sistem solar masing-masing.

"Pasukan SARES bersedia dari segi sokongan teknikal dan akan dikerahkan jika kerja utama perlu dilakukan," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Merdeka @Komuniti Peringkat DUN N69 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Bintulu, Rundi berkata ia adalah bertujuan bagi menerapkan nilai patriostisme dan semangat cintakan negara sebagai asas dalam hidup rakyat Malaysia.

Sumber: Harian Metro

#evolusibina #Sarawak #solar

    11